Pages

Followers

PENGERTIAN ‘ULAMA’

Konsep ulama’ boleh ditakrif dengan berbagai difinasi yang berlandaskan latar belakang kesarjanaan atau disiplin ilmu masing-masing. Perkataan ulama’ itu adalah kata jamak dari perkataan “’Arab iaitu ‘Alim. Kemudian lahir pula perkataan ‘Alamah iaitu orang yang benar-benar mengerti atau mengetahui dengan mendalam hakikat sesuatu. (Muhamad Ismail, 1961:26.)

Menurut Dato’ Dr. Harun Din, dalam al-Quran karim terdapat dua kali sahaja perkataan ulama’ itu digunakan. Kedua-duanya merujuk kepada yang mendalami pengetahuan agama. Yang mendalami agama Islam diistilahkan dengan al-ulama’. Ada alif dan lam. Ini bererti bahawa ulama’ adalah istilah khusus yang dimaklumi bahwa hanya diguna pakai untuk yang mengetahui dan mendalami tentang agama Islam sahaja. Di dalam bahasa arab ada banyak istilah selain ulama’ yang diguna bagi merujuk kepada bidang masing-masing. Contohnya (khabir atau khubara’ untuk pakar yang lain dari bidang agama), Muhtarif atau muhtarifun, Fanni atau fanniyyun yang merujuk kepada technician, Mahandis arkitek, Tabib akhsai pakar perubatan.

Seperkara lain yang patut disebut bahawa perkataan ulama ialah perkataan jama’. Kalau untuk seorang disebut alim mufrad. Akan tetapi sudah menjadi penggunaan yang menyeluruh dipakai ulama’ untuk merujuk kepada seorang seperti imam Syafie adalah ulama’ terbilang. Dibolehkan demikian kerana hakikatnya seorang alim dalam Islam memiliki dan mendalami berbagai bidang ilmu, ilmu bahasa Arab dengan segala cabangnya ilmu al-qawafi, badi’ maani, bayan, nahu saraf, usul feqh, ulum hadis, hadis, tafsir, ulum tafsir, ilmu al-adab al-arabi, arud, tarikh, mantiq, al-falsafah dan berbagai ilmu. (Dr. Harun Din, 2004: 7-8.)

Nizam Sakamat Sakjeha merumuskan pengertian ulama’ pada tanggapan masyarakat umum adalah mereka yang berat sangkaan mereka, amat ikhlas dalm melaksanakan tuntutan al-Quran dan al-Sunnah. Amat prihatin dan berusaha keras untuk menegakkan yang hak dan memerangi kebatilan, mereka adalah orang yang tidak mungkin tenggelam dalam hawa nafsu. Nizam Sakamat Sakjeha Nasaih wa Taujihat al-Mufakkirin wa Ulama’ al-Islam liljamaat wal ahzab al-Islamiah: 4

Menurut Jamal Mohd Lokman, menjelaskan secara estimologinya ulama’ membawa maksud “orang yang mengerti atau orang yang berilmu pengetahuan”, iaitu mengetahui hakikat sesuatu dengan penuh keyakinan. Jamal Mohd. Lokman Sulaiman, 1999:37.

Abi Talib dan Ismail Abdul Halim, Istilah ulama’ disandarkan kepada individu yang mengetahui mengenai al-Quran dan al-Sunnah serta memahami kedudukan hukum dan sumber hukum Islam yang berpandukan kepada sumber tersebut. (Abi Talib dan Ismail Abdul Halim, 1982:2. )

Mahyuddin Haji Yahya, di dalam Encyclopedia Sejarah Islam, para ulama’ ialah golongan penting kerana mereka merupakan pakar dalam bidang agama khususnya dalam bidang tafsir, feqah, hadis, Usuluddin dan segala cabang ilmu Islam. (Mahyuddin Haji Yahya, 1989:1708).

Al-Imam Abi Al-Qasim Jara Allah Mahmud Umar bin Muhammad al-Zamakhsyari, Ulama’ ialah mereka yang mengetahui mengenai sifat Allah, keadilannya,ketauhidannya, sifat yang harus dan yang tidak harus keatasnya, maka mereka membesarkannya, membesarkan kekuasaanya. Orang yang ilmunya bertambah maka bertambah takut ia kepada Allah SWT. (Al-Imam Abi Al-Qasim Jara Allah Mahmud Umar bin Muhammad al-Zamakhsyari, 1995:592-593.)

Menurut Syed Qutb mereka yang mengkaji al-Quran yang penuh keaijaiban dan mereka yang mengenal Allah dan mengetahui hakikat Allah, mengetahui kesan penciptaan Allah, mengetahui kesan kekuasaan Allah, dan bertaqwa kepada Allah, dan menyembah Allah dengan sebenar penyembahan. Ulama’ ialah orang yang mengetahui sifat Allah dan kebesarannya. Siapa yang bertambah ilmuya maka ia bertambah takut kepada Allah.( Syed Qutb, 1994:2943.)

Prof. Dr. H. Abdul Karim Amrullah (Hamka), Orang yang takut kepada Allah ialah orang-orang yang berilmu. Berdasarkan kepada ayat Fatir: 28. di pangkal ayat Allah mengguna perkataan “Innama”. Menurut ahli nahu bahawa huruf “innama” itu ialah adaatu hasr yang ertinya “alat untuk membatas”. Sebab itu ertinya yang tepat dan jitu ialah “ hanya orang-orang yang berilmu jua yang akan merasa takut kepada Allah. Kerana kalau tidak ada ilmu tidaklah orang akan takut kepada Allah. Kerana timbulnya satu ilmu setelah diselidiki. Maka jelaslah bahawa pangkal ayat tadi Allah telah berfirman “tidakkah engkau lihat” maka kalau tidak dilihat tidaklah akan tahu. Kalau sudah dilihat dan diketahui dengan sendirinya akan mengertilah bagaimana kebesaran Allah , kekuatanya dan keagunganya, merasa dirinya kerdil di hadapan kekuasaan Allah, dengan ini akan menimbulkan takut . Kalau takut telah timbul nescaya timbullah ketundukan , lalu segala perintahnya dilaksanakan dan larangannya dihentikan. .(Prof. Dr. H. Abdul Karim Amrullah (Hamka), 1984: 300-301. )

Menurut Ibn Kathir Tidak lain orang yang merasa takut kepada Allah itu hanyalah ulama’ yang telah mencapai matlamat ma’rifat, iaitu mengenali tuhan menilik hasil kekusaannya dan kebesarannya. Maha besar, maha kuasa, yang maha berilmu yang mempunyai sifat kesempurnaan dan yang mempunyai Asma’ al-Husna. Apabila makrifat bertambah sempurna dan ilmu terhadapnya bertambah matang, ketakutan kepadanya bertambah besar dan bertambah banyak.

Imam Malik berkata” ulama’ bukanlah kerana banyak menghafaz riwayat hadis, bahkan ilmu ialah Nur yang dinyalakan tuhan dalam hati”.Hamka: 301

Menurut al-Syaukani ulama’ ialah mereka yang takut kepada Allah dan mengetahui bahawa Allah berkuasa atas sesuatu. Dan ulama’ ini bukan mereka yang banyak menghafaz hadis tetapi mereka yang memiliki ilmu dan takut dengan Allah SWT. (Muhammad Bin Ali Muhammad al-Syaukani: 459. )

Begitu juga al-Qurtubi menyebut bahawa ulama’ ialah seorang yang takut kekuasaan Allah dan yakin Allah berkuasa membalas atas maksiat yang di lakukan. Daripada Ibn. Abbas berkata ulama’ ialah yang mengetahui tentang tuhannya yang Rahman dan tidak syirik kepada Allah, dan menghalalkan apa yang dihalalkan Allah dan menghalalkan apa yang dihalalkan Allah dan memelihara peringatan Allah dan mengetahui bahawa semua yang dilakukan di bawah pengetahuannya. (Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansari al-Qurtubi, juz 7:343-344.)

Dari Ibn Abi ‘Umrah dari ‘Akrimah dari Ibn Abbas katanya ulama’ ialah orang alim yang mengenal Allah dan tidak syirik kepadanya dan mengharamkan apa yang diharamkan dan memelihara wasiatnya”

Berkata Ahmad bin Saleh al-Misri dari Ibn Wahab dari Malik katanya” Sesungguhnya alim ialah bukan orang yang banyak meriwayat ,sebenarnya alim ialah ilmu yang dimilikinya bercahaya. Allah menjadikan bercahaya dalam hatinya. Tetapi mereka takut kepada Allah bukan semata-mata banyak mengetahui riwayat( ilmu) Sebaliknya ia mengetahui kefarduan dan mengikut kitab sunnah dan apa yang dilakukan oleh sahabat radhiallahuahum dan selepas dari mereka “ ”

al-Imam al-Maraghi ketika menafsirkan ayat dalam surah al-Fatir, Ulama’ ialah orang yang takut azab Allah dengan banyak melakukan kepadanya. Dengan ilmu yang mereka pelajari datanglah keyakinan, jika dibuat maksiat akan dibalas dengan siksa, demikian kalau dibuat baik maka mereka akan dibalas dengan syurga.

Menurut Ibn Abbas bahawa ulama’ ialah yang mengenal Allah dan takut kepadanya. (Muhammad Bin Ali Muhammad al-Syaukani, Tahqiq Dr. Abdul Rahman Umairah, Fathu al-Qadir, juz 4: 463)

Berkata Rabi’ Bin Anas “Siapa yang tidak takut kepada Allah maka ia bukan ulama’” (Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansari al-Qurtubi, juz 7:343-344.)

Dari Ibn Abi ‘Umrah dari ‘Akrimah dari Ibn Abbas katanya ulama’ ialah orang alim yang mengenal Allah dan tidak syirik kepadanya dan mengharamkan apa yang diharamkan dan memelihara wasiatnya” (Imam Hafiz Jamaluddin abu al-Fida’ Ismail ibn Kathir al-Qudsi al-Dimasyqi, juz 3/ 4: 553-554.)

al-Hassan al-Basri ulama’ ialah orang yang takut kepada Allah dan cenderung melakukan apa yang Allah suka dan menjauhkan apa yang Allah murka” (Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansari al-Qurtubi, 7/20: 343-344)

Sheikh Abul Aziz Badri ulama’ sebagai pewaris nabi iaitu yang menyambung kembali perjuangan dan dakwah para nabi. Ulama’ yang menjadi pewaris para nabi ialah ulama’ yang tidak takut kepada pemerintah yang zalim. Tidak takut kepada pihak yang kejam kerana kepatuhan mereka hanya kepada Allah SWT. (Sheikh Abul Aziz Badri, 1988:53. )

Berkata Ahmad bin Saleh al-Misri dari Ibn Wahab dari Malik katanya” Sesungguhnya alim ialah bukan orang yang banyak meriwayat ,sebenarnya alim ialah ilmu yang dimilkinya bercahaya. Allah menjadikan bercahaya dalam hatinya. Tetapi mereka takut kepada Allah bukan semata-mata banyak mengetahui riwayat( ilmu) Sebaliknya ia mengetahui kefarduan dan mengikut kitab sunnah dan apa yang dilakukan oleh sahabat radhiallahuahum dan selepas dari mereka “ (Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansari al-Qurtubi, 343-344.)

Ibn. Masud berkata ketakutan kepada Allah petanda seorang itu alim. Yang berilmu bukanlah kerana ia banyak meriwayatkan hadis akan tetapi yang amat takut kepada Allah. Di tanya Saad bin Ibrahim siapakah yang paling alim di kalangan penduduk Madinah? Jawabnya orang yang paling takut kepada Allah.

Ali Bin Abi Talib pernah berkata seorang alim ialah seorang yag tidak pernah melakukan maksiat, tidak jemu mengingatkan dirinya dan manusia sekalian akan azab allah swt dan tidak membelakangi al-quran. (Al- Imam al-Qurtubi, juz 14:243)

Kesimpulannya
Secara umumnya perkataan ulama’ itu membawa satu pengertian yang luas, disandarkan kepada seorang yang memahami konsep agama secara syumul dan mendalam serta menzahirkanya dalam bentuk praktikal dan amalan hidup seharian. Apabila ulama’ dikaitkan dengan Islam ia berhubung rapat dengan Allah. Tidak cukup sekadar ada ilmu tetapi tidak takut kepada Allah SWT, begitu juga sebaliknya.

Ulama’ dikenali dengan ilmunya dan keteguhan pendiriannya. Mereka terpelihara daripada terjebak ke dalam perkara-perkara yang syubahat. Ulama’ dikenali dengan jihad, dakwah, pengorbanan dari segi waktu, harta benda, nyawa dan kesungguhan mereka di jalan Allah.
Ulama’ dikenali dengan ibadah dan khusyuk mereka
kepada Allah. Ulama’ dikenali dengan jauhnya mereka dari keburukan dunia dan pujuk rayunya. Ulama’ dikenali dengan pengakuan oleh umat Islam dan jumhurnya dari kalangan ahli hak.

Di antara perkara yang menunjukkan alimnya ulama’ dan kelebihannya ialah mengenai pengajiannya, fatwanya dan
juga karangannya. Adapun pangkat dan jawatan atau yang seumpama dengannya, bukanlah dikira sebagai tanda yang
menunjukkan kepada ilmunya. Ulama’ tidak ditentukan dan tidak dipilih melalui cara pengundian, tidak juga dengan cara penentuan jawatan. Sebagaimana di antara kalangan alim ulama’ dalam tarikh ummah terserlah dan nyata sebutannya (masyhur), menjadi imam atau pemimpin kepada ummah sedang dia (alim ulama’) tidak mengenal dan menjawat kedudukan atau memegang jawatan. Seumpama Imam Ahmad dan Syeikh Islam Ibnu Taimiah sebagai dua contoh dalam tarikh yang panjang bagi ummah ini.

Ini tidak bermaksud setiap orang yang mempunyai jawatan dalam ilmu pengetahuan bukannya dia seorang yang alim, bahkan yang dimaksudkan di sini ialah kedudukan dan jawatan bukanlah dikira sebagai tanda yang menunjukkan ke atas ilmu, oleh itu kita dapati di
sana ada di antara kalangan para ulama’ yang dilantik oleh hakim(kerajaan) menjadi pemerintah, qodhi, mufti dan seumpama dengannya, bahkan kadang-kadang kita dapati pada zaman pemerintahan yang zalim tetap ada para qadhi yang adil dan para mufti yang boleh
dipercayai.

Memiliki segulung ijazah bukanlah jambatan mendapat gelaran sebagai ulama’, apatah lagi jika tidak terpancar dari dirinya kehidupan ilmu. Ulama’ bukan sahaja ada ilmu malahan ia memberi sumbangan kepada masyarakat, perkembangan dakwah dan kemajuan negara. Mereka adalah yang dianugerahkan Allah dengan ilmu pengetahuan, kemahiran serta pengalaman yang meluas dan mendalami dalam hukum halal, hal ehwal Islam dan mampu melakukan istinbat hukum dengan sumber-sumber hukum yang betul dan asli; alquran dan al-Sunnah, ijma’ dan qias dan lain-lain sumber yang muktabar, dengan lain perkataan ulama’ dalah pakar rujuk agama yang berkemampuan (dari segi ilmu) dan disiplinnya. Golongan ini juga mampu memahami , mengoalah serta menganalisa maqhasid syariah. Mereka adalah ahlul zikri yang boleh mengolah dan menganalisis kepentingan-kepentingan agama, nyawa, jiwa, akal dan intelektual, harta, nasab dan keturunan. Mereka juga mempunyai keperibadian yang mulia, dan dispilin yang tinggi dalam kehidupan. Mereka tidak boleh berpura-pura atau double standard sebaliknya ikhlas dan jujur samaada dalam kehidupan mahupun dalam pandangan, idea serta nasihat mereka. Ulama’ sebenar tidak bersikap berat sebelah tidak menggunakan ilmu untuk kepentingan diri dan kumpulan tertentu sahaja.

Kedudukan mereka sebagai ulama’ adalah satu pengiktirafan masyarakat. Jadi golongan ulama’ bukanlah merupakan golongan yang sewenang-wenangnya menggelar diri mereka ulama’. Pengiktirafan masyarakat amat penting kerana ilmu, sahsiah dan cara hidup mereka diakui. Ulama’ dahulu tidak mendapat apa apa sijil tetapi mereka diiktiraf oleh masyarakat sebagai al-Allamah (seorang berilmuan pengetahuan tinggi). Kualiti ilmu dan penyampaian ilmu membuahkan pengiktirapan masyarakat kepada mereka.

Dari semua kutipan dan penjelasan di atas menunjukkan bahawa ulama’ adalah merujuk kepada mereka yang mengetahui dan mendalami pengetahuan agama. Dengan pengetahuan ini menjadikan mereka patuh kepada hukum Allah. Amat takut kepada kemurkaan di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.


No comments:

Post a Comment