Pages

Followers

PENGERTIAN ‘ULAMA’

Konsep ulama’ boleh ditakrif dengan berbagai difinasi yang berlandaskan latar belakang kesarjanaan atau disiplin ilmu masing-masing. Perkataan ulama’ itu adalah kata jamak dari perkataan “’Arab iaitu ‘Alim. Kemudian lahir pula perkataan ‘Alamah iaitu orang yang benar-benar mengerti atau mengetahui dengan mendalam hakikat sesuatu. (Muhamad Ismail, 1961:26.)

Menurut Dato’ Dr. Harun Din, dalam al-Quran karim terdapat dua kali sahaja perkataan ulama’ itu digunakan. Kedua-duanya merujuk kepada yang mendalami pengetahuan agama. Yang mendalami agama Islam diistilahkan dengan al-ulama’. Ada alif dan lam. Ini bererti bahawa ulama’ adalah istilah khusus yang dimaklumi bahwa hanya diguna pakai untuk yang mengetahui dan mendalami tentang agama Islam sahaja. Di dalam bahasa arab ada banyak istilah selain ulama’ yang diguna bagi merujuk kepada bidang masing-masing. Contohnya (khabir atau khubara’ untuk pakar yang lain dari bidang agama), Muhtarif atau muhtarifun, Fanni atau fanniyyun yang merujuk kepada technician, Mahandis arkitek, Tabib akhsai pakar perubatan.

Seperkara lain yang patut disebut bahawa perkataan ulama ialah perkataan jama’. Kalau untuk seorang disebut alim mufrad. Akan tetapi sudah menjadi penggunaan yang menyeluruh dipakai ulama’ untuk merujuk kepada seorang seperti imam Syafie adalah ulama’ terbilang. Dibolehkan demikian kerana hakikatnya seorang alim dalam Islam memiliki dan mendalami berbagai bidang ilmu, ilmu bahasa Arab dengan segala cabangnya ilmu al-qawafi, badi’ maani, bayan, nahu saraf, usul feqh, ulum hadis, hadis, tafsir, ulum tafsir, ilmu al-adab al-arabi, arud, tarikh, mantiq, al-falsafah dan berbagai ilmu. (Dr. Harun Din, 2004: 7-8.)

Nizam Sakamat Sakjeha merumuskan pengertian ulama’ pada tanggapan masyarakat umum adalah mereka yang berat sangkaan mereka, amat ikhlas dalm melaksanakan tuntutan al-Quran dan al-Sunnah. Amat prihatin dan berusaha keras untuk menegakkan yang hak dan memerangi kebatilan, mereka adalah orang yang tidak mungkin tenggelam dalam hawa nafsu. Nizam Sakamat Sakjeha Nasaih wa Taujihat al-Mufakkirin wa Ulama’ al-Islam liljamaat wal ahzab al-Islamiah: 4

Menurut Jamal Mohd Lokman, menjelaskan secara estimologinya ulama’ membawa maksud “orang yang mengerti atau orang yang berilmu pengetahuan”, iaitu mengetahui hakikat sesuatu dengan penuh keyakinan. Jamal Mohd. Lokman Sulaiman, 1999:37.

Abi Talib dan Ismail Abdul Halim, Istilah ulama’ disandarkan kepada individu yang mengetahui mengenai al-Quran dan al-Sunnah serta memahami kedudukan hukum dan sumber hukum Islam yang berpandukan kepada sumber tersebut. (Abi Talib dan Ismail Abdul Halim, 1982:2. )

Mahyuddin Haji Yahya, di dalam Encyclopedia Sejarah Islam, para ulama’ ialah golongan penting kerana mereka merupakan pakar dalam bidang agama khususnya dalam bidang tafsir, feqah, hadis, Usuluddin dan segala cabang ilmu Islam. (Mahyuddin Haji Yahya, 1989:1708).

Al-Imam Abi Al-Qasim Jara Allah Mahmud Umar bin Muhammad al-Zamakhsyari, Ulama’ ialah mereka yang mengetahui mengenai sifat Allah, keadilannya,ketauhidannya, sifat yang harus dan yang tidak harus keatasnya, maka mereka membesarkannya, membesarkan kekuasaanya. Orang yang ilmunya bertambah maka bertambah takut ia kepada Allah SWT. (Al-Imam Abi Al-Qasim Jara Allah Mahmud Umar bin Muhammad al-Zamakhsyari, 1995:592-593.)

Menurut Syed Qutb mereka yang mengkaji al-Quran yang penuh keaijaiban dan mereka yang mengenal Allah dan mengetahui hakikat Allah, mengetahui kesan penciptaan Allah, mengetahui kesan kekuasaan Allah, dan bertaqwa kepada Allah, dan menyembah Allah dengan sebenar penyembahan. Ulama’ ialah orang yang mengetahui sifat Allah dan kebesarannya. Siapa yang bertambah ilmuya maka ia bertambah takut kepada Allah.( Syed Qutb, 1994:2943.)

Prof. Dr. H. Abdul Karim Amrullah (Hamka), Orang yang takut kepada Allah ialah orang-orang yang berilmu. Berdasarkan kepada ayat Fatir: 28. di pangkal ayat Allah mengguna perkataan “Innama”. Menurut ahli nahu bahawa huruf “innama” itu ialah adaatu hasr yang ertinya “alat untuk membatas”. Sebab itu ertinya yang tepat dan jitu ialah “ hanya orang-orang yang berilmu jua yang akan merasa takut kepada Allah. Kerana kalau tidak ada ilmu tidaklah orang akan takut kepada Allah. Kerana timbulnya satu ilmu setelah diselidiki. Maka jelaslah bahawa pangkal ayat tadi Allah telah berfirman “tidakkah engkau lihat” maka kalau tidak dilihat tidaklah akan tahu. Kalau sudah dilihat dan diketahui dengan sendirinya akan mengertilah bagaimana kebesaran Allah , kekuatanya dan keagunganya, merasa dirinya kerdil di hadapan kekuasaan Allah, dengan ini akan menimbulkan takut . Kalau takut telah timbul nescaya timbullah ketundukan , lalu segala perintahnya dilaksanakan dan larangannya dihentikan. .(Prof. Dr. H. Abdul Karim Amrullah (Hamka), 1984: 300-301. )

Menurut Ibn Kathir Tidak lain orang yang merasa takut kepada Allah itu hanyalah ulama’ yang telah mencapai matlamat ma’rifat, iaitu mengenali tuhan menilik hasil kekusaannya dan kebesarannya. Maha besar, maha kuasa, yang maha berilmu yang mempunyai sifat kesempurnaan dan yang mempunyai Asma’ al-Husna. Apabila makrifat bertambah sempurna dan ilmu terhadapnya bertambah matang, ketakutan kepadanya bertambah besar dan bertambah banyak.

Imam Malik berkata” ulama’ bukanlah kerana banyak menghafaz riwayat hadis, bahkan ilmu ialah Nur yang dinyalakan tuhan dalam hati”.Hamka: 301

Menurut al-Syaukani ulama’ ialah mereka yang takut kepada Allah dan mengetahui bahawa Allah berkuasa atas sesuatu. Dan ulama’ ini bukan mereka yang banyak menghafaz hadis tetapi mereka yang memiliki ilmu dan takut dengan Allah SWT. (Muhammad Bin Ali Muhammad al-Syaukani: 459. )

Begitu juga al-Qurtubi menyebut bahawa ulama’ ialah seorang yang takut kekuasaan Allah dan yakin Allah berkuasa membalas atas maksiat yang di lakukan. Daripada Ibn. Abbas berkata ulama’ ialah yang mengetahui tentang tuhannya yang Rahman dan tidak syirik kepada Allah, dan menghalalkan apa yang dihalalkan Allah dan menghalalkan apa yang dihalalkan Allah dan memelihara peringatan Allah dan mengetahui bahawa semua yang dilakukan di bawah pengetahuannya. (Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansari al-Qurtubi, juz 7:343-344.)

Dari Ibn Abi ‘Umrah dari ‘Akrimah dari Ibn Abbas katanya ulama’ ialah orang alim yang mengenal Allah dan tidak syirik kepadanya dan mengharamkan apa yang diharamkan dan memelihara wasiatnya”

Berkata Ahmad bin Saleh al-Misri dari Ibn Wahab dari Malik katanya” Sesungguhnya alim ialah bukan orang yang banyak meriwayat ,sebenarnya alim ialah ilmu yang dimilikinya bercahaya. Allah menjadikan bercahaya dalam hatinya. Tetapi mereka takut kepada Allah bukan semata-mata banyak mengetahui riwayat( ilmu) Sebaliknya ia mengetahui kefarduan dan mengikut kitab sunnah dan apa yang dilakukan oleh sahabat radhiallahuahum dan selepas dari mereka “ ”

al-Imam al-Maraghi ketika menafsirkan ayat dalam surah al-Fatir, Ulama’ ialah orang yang takut azab Allah dengan banyak melakukan kepadanya. Dengan ilmu yang mereka pelajari datanglah keyakinan, jika dibuat maksiat akan dibalas dengan siksa, demikian kalau dibuat baik maka mereka akan dibalas dengan syurga.

Menurut Ibn Abbas bahawa ulama’ ialah yang mengenal Allah dan takut kepadanya. (Muhammad Bin Ali Muhammad al-Syaukani, Tahqiq Dr. Abdul Rahman Umairah, Fathu al-Qadir, juz 4: 463)

Berkata Rabi’ Bin Anas “Siapa yang tidak takut kepada Allah maka ia bukan ulama’” (Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansari al-Qurtubi, juz 7:343-344.)

Dari Ibn Abi ‘Umrah dari ‘Akrimah dari Ibn Abbas katanya ulama’ ialah orang alim yang mengenal Allah dan tidak syirik kepadanya dan mengharamkan apa yang diharamkan dan memelihara wasiatnya” (Imam Hafiz Jamaluddin abu al-Fida’ Ismail ibn Kathir al-Qudsi al-Dimasyqi, juz 3/ 4: 553-554.)

al-Hassan al-Basri ulama’ ialah orang yang takut kepada Allah dan cenderung melakukan apa yang Allah suka dan menjauhkan apa yang Allah murka” (Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansari al-Qurtubi, 7/20: 343-344)

Sheikh Abul Aziz Badri ulama’ sebagai pewaris nabi iaitu yang menyambung kembali perjuangan dan dakwah para nabi. Ulama’ yang menjadi pewaris para nabi ialah ulama’ yang tidak takut kepada pemerintah yang zalim. Tidak takut kepada pihak yang kejam kerana kepatuhan mereka hanya kepada Allah SWT. (Sheikh Abul Aziz Badri, 1988:53. )

Berkata Ahmad bin Saleh al-Misri dari Ibn Wahab dari Malik katanya” Sesungguhnya alim ialah bukan orang yang banyak meriwayat ,sebenarnya alim ialah ilmu yang dimilkinya bercahaya. Allah menjadikan bercahaya dalam hatinya. Tetapi mereka takut kepada Allah bukan semata-mata banyak mengetahui riwayat( ilmu) Sebaliknya ia mengetahui kefarduan dan mengikut kitab sunnah dan apa yang dilakukan oleh sahabat radhiallahuahum dan selepas dari mereka “ (Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansari al-Qurtubi, 343-344.)

Ibn. Masud berkata ketakutan kepada Allah petanda seorang itu alim. Yang berilmu bukanlah kerana ia banyak meriwayatkan hadis akan tetapi yang amat takut kepada Allah. Di tanya Saad bin Ibrahim siapakah yang paling alim di kalangan penduduk Madinah? Jawabnya orang yang paling takut kepada Allah.

Ali Bin Abi Talib pernah berkata seorang alim ialah seorang yag tidak pernah melakukan maksiat, tidak jemu mengingatkan dirinya dan manusia sekalian akan azab allah swt dan tidak membelakangi al-quran. (Al- Imam al-Qurtubi, juz 14:243)

Kesimpulannya
Secara umumnya perkataan ulama’ itu membawa satu pengertian yang luas, disandarkan kepada seorang yang memahami konsep agama secara syumul dan mendalam serta menzahirkanya dalam bentuk praktikal dan amalan hidup seharian. Apabila ulama’ dikaitkan dengan Islam ia berhubung rapat dengan Allah. Tidak cukup sekadar ada ilmu tetapi tidak takut kepada Allah SWT, begitu juga sebaliknya.

Ulama’ dikenali dengan ilmunya dan keteguhan pendiriannya. Mereka terpelihara daripada terjebak ke dalam perkara-perkara yang syubahat. Ulama’ dikenali dengan jihad, dakwah, pengorbanan dari segi waktu, harta benda, nyawa dan kesungguhan mereka di jalan Allah.
Ulama’ dikenali dengan ibadah dan khusyuk mereka
kepada Allah. Ulama’ dikenali dengan jauhnya mereka dari keburukan dunia dan pujuk rayunya. Ulama’ dikenali dengan pengakuan oleh umat Islam dan jumhurnya dari kalangan ahli hak.

Di antara perkara yang menunjukkan alimnya ulama’ dan kelebihannya ialah mengenai pengajiannya, fatwanya dan
juga karangannya. Adapun pangkat dan jawatan atau yang seumpama dengannya, bukanlah dikira sebagai tanda yang
menunjukkan kepada ilmunya. Ulama’ tidak ditentukan dan tidak dipilih melalui cara pengundian, tidak juga dengan cara penentuan jawatan. Sebagaimana di antara kalangan alim ulama’ dalam tarikh ummah terserlah dan nyata sebutannya (masyhur), menjadi imam atau pemimpin kepada ummah sedang dia (alim ulama’) tidak mengenal dan menjawat kedudukan atau memegang jawatan. Seumpama Imam Ahmad dan Syeikh Islam Ibnu Taimiah sebagai dua contoh dalam tarikh yang panjang bagi ummah ini.

Ini tidak bermaksud setiap orang yang mempunyai jawatan dalam ilmu pengetahuan bukannya dia seorang yang alim, bahkan yang dimaksudkan di sini ialah kedudukan dan jawatan bukanlah dikira sebagai tanda yang menunjukkan ke atas ilmu, oleh itu kita dapati di
sana ada di antara kalangan para ulama’ yang dilantik oleh hakim(kerajaan) menjadi pemerintah, qodhi, mufti dan seumpama dengannya, bahkan kadang-kadang kita dapati pada zaman pemerintahan yang zalim tetap ada para qadhi yang adil dan para mufti yang boleh
dipercayai.

Memiliki segulung ijazah bukanlah jambatan mendapat gelaran sebagai ulama’, apatah lagi jika tidak terpancar dari dirinya kehidupan ilmu. Ulama’ bukan sahaja ada ilmu malahan ia memberi sumbangan kepada masyarakat, perkembangan dakwah dan kemajuan negara. Mereka adalah yang dianugerahkan Allah dengan ilmu pengetahuan, kemahiran serta pengalaman yang meluas dan mendalami dalam hukum halal, hal ehwal Islam dan mampu melakukan istinbat hukum dengan sumber-sumber hukum yang betul dan asli; alquran dan al-Sunnah, ijma’ dan qias dan lain-lain sumber yang muktabar, dengan lain perkataan ulama’ dalah pakar rujuk agama yang berkemampuan (dari segi ilmu) dan disiplinnya. Golongan ini juga mampu memahami , mengoalah serta menganalisa maqhasid syariah. Mereka adalah ahlul zikri yang boleh mengolah dan menganalisis kepentingan-kepentingan agama, nyawa, jiwa, akal dan intelektual, harta, nasab dan keturunan. Mereka juga mempunyai keperibadian yang mulia, dan dispilin yang tinggi dalam kehidupan. Mereka tidak boleh berpura-pura atau double standard sebaliknya ikhlas dan jujur samaada dalam kehidupan mahupun dalam pandangan, idea serta nasihat mereka. Ulama’ sebenar tidak bersikap berat sebelah tidak menggunakan ilmu untuk kepentingan diri dan kumpulan tertentu sahaja.

Kedudukan mereka sebagai ulama’ adalah satu pengiktirafan masyarakat. Jadi golongan ulama’ bukanlah merupakan golongan yang sewenang-wenangnya menggelar diri mereka ulama’. Pengiktirafan masyarakat amat penting kerana ilmu, sahsiah dan cara hidup mereka diakui. Ulama’ dahulu tidak mendapat apa apa sijil tetapi mereka diiktiraf oleh masyarakat sebagai al-Allamah (seorang berilmuan pengetahuan tinggi). Kualiti ilmu dan penyampaian ilmu membuahkan pengiktirapan masyarakat kepada mereka.

Dari semua kutipan dan penjelasan di atas menunjukkan bahawa ulama’ adalah merujuk kepada mereka yang mengetahui dan mendalami pengetahuan agama. Dengan pengetahuan ini menjadikan mereka patuh kepada hukum Allah. Amat takut kepada kemurkaan di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.


MAKSUD SEBENAR ‘UMMI’



DI SINI saya ingin mengajukan persoalan berkaitan maksud ‘ummi’ (buta huruf?) yang dikatakan menjadi sifat Nabi Muhammad SAW. Adakah benar Nabi Muhammad SAW seorang yang buta huruf, iaitu tidak tahu membaca, menulis dan mengira?

Adakah nas (sama ada ayat al-Quran atau hadis) atau catatan sejarah yang membenarkan dakwaan ini?

Selama ini kita diajar sejak kecil bahawa Nabi seorang yang ‘ummi’ yang membawa makna buta huruf. Apa maksud sebenar perkataan ini?

Nabi adalah daripada golongan bangsawan (datuk Nabi pula pembesar Makkah pada waktu itu), adakah logik seorang datuk yang terpelajar tidak dapat memberi sekurang-kurangnya pendidikan asas (membaca, menulis dan mengira) kepada cucu kesayangannya?

Adakah Nabi sebagai pemimpin agung sepanjang zaman, seorang yang buta huruf? Sedangkan pada masa kini seorang yang buta huruf sangat rendah kedudukannya, dipandang hina, hendak minta kerja pun susah.

Inikan pula seorang pemimpin agung, bukankah ini menunjukkan sifat kelemahan dan kehinaan pada diri Nabi, sedangkan Nabi terpelihara dari semua sifat-sifat itu.

Nabi pernah dilantik sebagai hakim dan digelar al-amin. Adakah seorang yang buta huruf, boleh dilantik sebagai hakim, sedangkan pada masa itu Makkah mempunyai sistem pemerintahan sendiri.

Perkembangan sastera (saya kira termasuk membaca, menulis dan mengira) begitu pesat.

Apa pandangan Datuk mengenai isu ini? Mohon dapat beri penjelasan supaya kita dapat mencintai dan mencontohi Nabi Muhammad SAW dalam setiap aspek kehidupan kita dengan ilmu, bukan sekadar ikut-ikutan, sehingga tanpa sedar kita merendahkan maruah dan martabat Nabi Muhammad SAW.



ZHA LEE

Kuala Lumpur




Terima kasih kerana begitu serius mahu memahami sejarah Nabi Muhammad SAW. Sebenarnya Rasulullah memang ummi berdasarkan firman Allah SWT sendiri dan sejarah yang kita baca. Allah berfirman:

“Orang-orang yang mengikuti Rasul, seorang nabi yang ummi yang mereka temukan (namanya) tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada pada mereka, yang menyuruh mereka kepada yang maaruf dan melarang mereka dari yang mungkar, yang menghalalkan bagi mereka semua yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya, dan mengikuti cahaya yang diturunkan kepadanya. Mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Q S Al-A’raaf: 157)

“Dan kamu (Muhammad) tidak pernah membaca satu kitab pun sebelumnya dan tidak pernah menulis satu kitab pun dengan tangan kananmu.” (Q S Al-Ankabuut: 48)“

Ummi membawa makna buta huruf tidak boleh menulis, membaca dan mengira.

Bagaimanapun sifat ini janganlah dilihat dalam suasana sekarang yang moden, di mana sifat itu dianggap sebagai kecacatan dan keaiban.

Sebaliknya perlu dilihat dalam suasana ketika itu dan sebagai mukjizat untuk menjadi bukti bahawa al-Quran bukanlah dari atau ciptaan Nabi SAW seperti firman Allah: “(Andai kamu boleh membaca dan menulis) pasti ragulah orang-orang yang mengingkarimu.”

Ini bererti kalau kamu boleh menulis pasti beberapa orang yang bodoh akan ragu, lalu akan berkata: “Kamu hanyalah mengetahui ini dari kitab-kitab sebelumnya yang diambil dari para nabi, padahal mereka mengetahui bahawa Nabi ini buta huruf, tidak pandai menulis, “Dan mereka berkata: ‘Ini adalah dongeng-dongeng masa lalu yang dituliskannya.”

Ditanya pada Al-Marwadi: Apakah bentuk mukjizat diutusnya seorang Nabi yang ummi? Maka jawabnya demi tiga sebab:






  • Pertama: Untuk menunjukkan sesuainya keadaan dia dengan khabar dari nabi-nabi sebelumnya.







  • Kedua: Supaya keadaannya sesuai dengan keadaan mereka (kaumnya) sehingga lebih memungkinkan diterima.







  • Ketiga: Untuk menghindari buruk sangka dalam mengajarkan apa-apa yang didakwahkannya daripada kitab yang dia baca dan hikmah-hikmah yang dia sampaikan.”

  • Jasa Ibu boleh dibalas?

    By: Muhamad Agus Syafii

    Ada seorang pemuda menemui Rasulullah dan berkata, 'Wahai Rasul, ayah saya kini telah tiada, sedangkan ibu saya sudah tua. Kalau makan, saya haluskan dulu makanannya kemudian saya letakkan makanan itu ke dalam mulutnya, tak ubahnya
    anak kecil.

    Saya letakkan beliau dalam ayunan kain seperti bayi dan setelah itu saya mengayunnya sampai tertidur.

    'Mendengar penuturan Rasulullah meneteskan air mata seraya mengatakan, 'Wahai anak muda, engkau telah mendapatkan keberhasilan yang sangat layak karena engkau memohon kepada Allah dengan hati yang bersih dan niat yang tulus dan Allah telah mengabulkan doamu'.

    Anak muda itu bertanya, 'Wahai Nabi, apakah saya sudah dapat menggantikan jerih payah ibu saya?' Rasulullah Bersabda, 'engkau takkan pernah bisa menggantikan semua jerih payahnya bahkan satu rintihan di antara rintihan-rintihannya pada saat melahirkan.

    Di dunia ini tidak ada yang bisa bekerja keras yang melebihi dari yang dilakukan oleh seorang ibu.'

    Sahabatku yang disayang Allah, Itulah sebabnya menghormati ibu adalah sebuah keharusan.

    Rintihan ibu ketika melahirkan diri kita, rintihan ibu di kala malam tiba dan bermunajat untuk anaknya akan selalu didengarkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

    Kesuksesan seorang anak berarti munajat yang dipanjatkan ibu. Mari kita muliakan Ibu yang setiap rintihannya tak akan pernah kita sanggup untuk menggantikannya.

    Petua nak jumpa Nabi dalam mimpi

    Oleh: al-bahanj

    Seorang remaja lelaki menghantar mesej SMS kepada saya bertanya soalan bagaimanakah untuk berjumpa dengan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi? Ma Sya ALLAH, memang bagus betul soalan tersebut. Ia biasanya ditanya oleh orang-orang yang soleh yang rindukan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.

    Saya tidak mampu untuk menjawabnya. Soalan itu berat untuk saya menjawabnya kerana saya sendiri pun belum lagi direzekikan oleh ALLAH Ta`ala untuk mengalami mimpi yang mulia itu. Beruntunglah sesiapa yang dapat bertemu dengan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi semasa hayatnya.

    Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu, bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam pernah bersabda:

    “Sesiapa yang melihatku dalam mimpi, bererti dia benar-benar melihatku. Sesungguhnya Syaitan tidak mampu menjelma rupaku.” (HR Muslim)

    Saya pernah mendengar jawapan yang sangat cantik yang pernah dijawab oleh Sheikh Muhammad Hassan (semoga ALLAH memelihara beliau) apabila ditanya soalan yang sama. Beliau telah menjawabnya dengan menyampaikan suatu kisah yang beliau perolehi dari seseorang yang beliau kenali. Kisahnya seperti berikut:-

    Pada suatu hari, seorang pelajar datang bertemu tuan gurunya kerana ingin bertanya suatu soalan yang sangat penting.

    “Wahai tuan guru, tolonglah ajarkan kepada saya tentang caranya untuk bertemu dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi saya” Tanya pelajar itu kepada tuan gurunya.

    “Engkau mahu melihat Nabi sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpimu?” Tuan guru bertanya semula.

    “Ya, wahai tuan guru” Jawab pelajar tersebut dengan sungguh-sungguh.

    “Jika begitu. Marilah datang ke rumah saya malam ini. Kita makan malam sama-sama ya…” Jemput tuan guru kepada pelajarnya yang bertanya itu.

    “Apa? Ma Sya ALLAH, ini sudah bagus, rezeki” Pelajar tersebut terkejut dan gembira dengan pelawaan tuan gurunya itu.

    Lalu pada malamnya si pelajar itu datang ke rumah tuan gurunya untuk mendapatkan jawapan yang ditanya itu, iaitu bagaimana untuk berjumpa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi. Beliau sangat mengharapkan tuan gurunya yang alim dan murobbi itu dapat memberikannya jawapan.

    Tuan guru menjemput pelajar itu makan makanan yang dihidangkan. Tetapi makanan yang disediakan itu sengaja dilebihkan garam dan beliau tidak pula menyediakan air untuk pelajar tersebut minum.

    “Boleh saya minta air? Saya dahaga, wahai tuan guru” Pinta pelajar tersebut yang berasa haus disebabkan oleh kemasinan makanan yang disediakan.

    “Oh tidak, air tidak dibenarkan” Jawab tuan guru.

    “Tetapi tuan guru, saya berasa sangat dahaga.” Pelajar itu memberitahu keadaannya yang sedang mengalami kehausan.

    “Tidak, air tidak dibenarkan. Makan sahajalah” Tuan guru bertegas lalu memintanya teruskan makan.

    “Baiklah tuan guru.” Pelajar tersebut akur.

    Setelah selesai makanan, pelajar itu pun meminta agar jawapannya dijawab oleh tuan gurunya.

    “Tuan guru, mengenai soalan saya siang tadi. Boleh tuan guru ajarkan kepada saya bagaimana untuk bertemu dengan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi” Pelajar itu bertanya.

    “Oh, tidak. Bukan sekarang. Saya tidak akan ajar kamu tentang itu sekarang.” Jelas tuan gurunya dengan lembut.

    “Habis tu, bila wahai tuan guru?” Tanya pelajar itu dengan nada sedikit kecewa.

    “Tidurlah sekarang. Nanti sebelum Subuh, insyaALLAH saya akan tunjukkan kepada kamu bagaimana caranya untuk bertemu dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi” Jawab tuan gurunya sambil memujuk.

    Pelajar itu pun lalu tidur dengan harapan Subuh nanti beliau akan memperolehi suatu pelajaran yang sangat beliau nantikan. Beliau benar-benar ingin bertemu dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi, tetapi tidak tahu caranya.

    “Wahai anakku, marilah ke sini…” Tuan guru memanggil pelajarnya setelah mereka sama-sama bangun sebelum Subuh.

    “Ajarlah saya wahai tuan guru tentang bagaimana untuk bertemu Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi!” Pelajar tersebut tanpa bersabar terus meminta agar diajarkan beliau dengan suatu ilmu yang besar itu.

    “Nanti dulu. Sebelum itu saya ingin bertanya adakah kamu melihat apa-apa malam tadi di dalam mimpi kamu?” Tanya tuan guru dengan wajah yang manis.

    “Ya, ada.” Jawab pelajar tersebut ringkas.

    “Apa yang kamu lihat?” Tanya tuan guru lagi.

    “Wahai tuan guru, saya telah melihat hujan yang lebat turun dari langit, sungai mengalir dan laut berombak pula berada di hadapan saya” Pelajar itu menjelaskan apa yang beliau lihat di dalam mimpinya. Ternyata beliau sangat senang sekali dengan apa yang dilihatnya.

    “Benarlah wahai anakku. Engkau telah bercakap benar. Engkau telah bercakap benar. Dan engkau juga mempunyai niat yang benar. Maka sebab itulah mimpi engkau juga benar.” Tuan guru lalu memberikan respon terhadap jawapan pelajarnya itu.

    “Dan jika cintamu benar terhadap Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, maka engkau akan dapat melihat Baginda di dalam mimpi sebagaimana benar dan kuatnya perasaanmu terhadap air tadi.” Tuan guru menyambung lagi.

    Allahumma solli `ala Muhammad wa `ala ali Muhammad. Kisah tersebut membuka suatu pertanyaan yang besar buat kita yang perlu kita sendiri muhasabah dengan jawapan tersebut.

    Benarkah kita cintakan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam? Sudahkah kita mengamalkan sunnah-sunnah Baginda sallAllahu `alaihi wasallam? Sejauh manakah kita menjauhi kesemua larangan-larangan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam? Dan istiqamahkah kita mendo`akan solawat buat junjungan mulia sallAllahu `alaihi wasallam?

    Agaknya sebab itulah kita belum direzekikan ALLAH Ta`ala buat kita untuk bertemu dengan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi disebabkan keadaan kita yang belum betul-betul cintakan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.

    Sheikh Muhammad Hassan selepas menyampaikan kisah tersebut lalu mengajak kita semua bermuhasabah:

    “Berkemungkinankah untuk Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam datang di dalam mimpi seseorang yang makan dari makanan yang haram? Seseorang yang matanya melihat perkara yang haram? Seseorang yang lidahnya menipu? Seseorang yang terlibat dengan riba? Seseorang yang munafiq? Adakah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam akan datang kepada orang-orang ini???!!!

    Tidak! Sama sekali tidak! Demi ALLAH, Baginda sallAllahu `alaihi wasallam tidak akan datang melainkan kepada orang yang Baginda sayangi…!”

    Sheikh Muhammad Hassan seterusnya menceritakan bahawa beliau pernah bertemu dengan seorang ibu tua berumur 70 tahun yang tinggal di sebuah rumah usang yang hanya diperbuat dari tanah liat. Keistimewaan ibu tua ini ialah pada setiap malam beliau dapat berjumpa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi. Antara amalan yang selalu dilakukan ialah beliau tidak pernah berhenti dari bersolawat ke atas Baginda sallAllahu `alaihi wasallam. Setiap saat yang ada, beliau sentiasa bersolawat ke atas Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.

    Selain bersolawat sepanjang masa, Sheikh Muhammad Hassan juga memberi nasihat, untuk bertemu Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi, hendaklah kita semua menguatkan rasa cinta kita kepada Baginda. Samalah seperti air di dalam kisah di atas. Seseorang yang sangat mendambakan sesuatu akan terbawa-bawa hingga ke dalam mimpinya.

    Dan cara menguatkan cinta bukanlah hanya dengan mempunyai perasaan cinta sahaja. Ia mestilah disertai dengan mengikuti sunnah-sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam. Iaitu dengan mahabbah (cinta) dan ittiba` (ikut) Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.

    Tidak ada cara lain lagi. Untuk bertemu dengan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam di dalam mimpi, hendaklah diterapkan sekuat-kuatnya rasa cinta dan ikut Baginda. InsyaALLAH, Nabi sallAllahu `alaihi wasallam akan datang bertemu dengan mukmin yang betul-betul cinta dan ikut Baginda. Semoga kita semua dapat memperbaiki diri kita dalam hal menghayati sunnah-sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.

    Dan mudah-mudahan kita semua digolongkan oleh ALLAH Subhanahu wa Ta`ala sebagai ummat Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang dapat bertemu dengan Baginda di kolam al-Haudh di Padang Mahsyar dan bersama dengan Nabi di kolam al-Kautsar di Syurga nanti, amin…

    Allahumma solli `ala Muhammad wa `ala ali Muhammad.

    Shahmuzir bin Nordzahir