Pages

Followers

Hudud: Undang-Undang Yang Paling Rasional

Oleh: zharifjenn

Dalam tulisan kali ini saya akan cuba menjawab serba sedikit persoalan-persoalan yang sering ditimbulkan di dalam isu hudud ini.

Persoalan pertama yang sering dibangkitkan adalah undang-undang hudud adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Untuk tujuan perbincangan katakanlah kita terima bahawa hudud adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Persoalannya adakah apa sahaja undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan adalah undang-undang yang tidak baik dan perlu diketepikan begitu sahaja?

Jika benar sesuatu undang-undang itu benar-benar bercanggah dengan Perlembagaan, tidak bolehkah Perlembagaan tersebut dipinda bagi membolehkan undang-undang yang baik tersebut diluluskan dan seterusnya dilaksanakan.

Sememangnya bermasalah

Adakah meminda peruntukkan dalam Perlembagaan adalah suatu jenayah atau 'dosa' yang besar dan tidak boleh dimaafkan sama sekali. Bukankah selama ini Perlembagaan negara ini telah beberapa kali dipinda?

Selanjutnya adakah semua undang-undang yang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang yang baik dan tidak menzalimi rakyat? Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Polis, Akta Hasutan, Akta Penerbitan & Mesin Cetak dan Akta Universiti dan Universiti Kolej (Auku) adalah contoh undang-undang yang digubal menurut peruntukan Perlembagaan dan sehingga kini diputuskan oleh Mahkamah, undang-undang tersebut adalah selaras dengan Perlembagaan.

Menzalimi Rakyat

Tetapi siapa yang boleh menafikan akta-akta tersebut, meskipun selaras dengan Perlembagaan, adalah undang-undang yang zalim dan telah terbukti menzalimi rakyat yang tidak berdosa.

Sehingga kini suara-suara yang meminta undang-undang tersebut sama ada dipinda atau dimansuhkan masih terus berkumandang. Meskipun undang-undang tersebut selaras dengan Perlembagaan kenapakah ianya diminta untuk dipinda atau dimansuhkan?

Dalam konteks undang-undang hudud adilkah untuk kita meminta undang-undang Allah tersebut dipinda bagi membolehkan ianya selaras dengan Perlembagaan? Sudah tentu alternatif terbaik, jika ianya bercanggah dengan Perlembagaan maka sewajarnya Perlembagaan itu sendiri yang harus dipinda.

Mungkin ada yang berhujah adalah sukar untuk kita meminda Perlembagaan Persekutuan? Apa yang lebih susah dari meminda peruntukan Perlembagaan Persekutuan apabila ianya menyentuh isu imuniti Raja. Bukan sahaja pindaan tersebut memerlukan dua pertiga tetapi ia juga perlu persetujuan Majlis Raja-Raja. Tetapi, seperti yang kita maklum, pindaan tersebut berjaya dilakukan meskipun sukar.

Hujah yang saya berikan di atas bertolak dari andaian bahawa undang-undang hudud bercanggah dengan Perlembagaan. Namun perlu saya nyatakan di sini ada juga dari kalangan ahli undang-undang yang berpendapat undang-undang hudud tidak bercanggah dengan Perlembagaan.

Senarai Negeri

Antara hujah lain yang dikemukakan oleh ahli undang-undang ini adalah bidang kuasa kerajaan negeri untuk menggubal undang-undang sepertimana yang dinyatakan di dalam Senarai Negeri di Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan adalah termasuk menggubal undang-undang Islam (Islamic law) dan perkataan undang-undang Islam di dalam Senarai Negeri tersebut hendaklah ditafsirkan secara luas sepertimana yang difahami oleh Islam.

Persoalan kedua yang juga sering ditimbulkan adalah undang-undang hudud terlalu keras dan ianya menakutkan orang bukan Islam. Undang-undang memotong tangan pencuri dan merejam penzina dianggap undang-undang yang tidak bertamadun dan ketinggalan zaman.

Pertamanya persoalan orang bukan Islam. Jika dilihat kepada Enakmen Hudud yang digubal di Kelantan dan Terengganu, adalah jelas ianya tidak terpakai kepada orang-orang bukan Islam. Oleh itu kebimbangan orang-orang bukan Islam tidak berasas.

Selanjutnya isu sama ada sesuatu undang-undang itu keras, tidak bertamadun atau ketinggalan zaman adalah persoalan persepsi. Kita lihat undang-undang yang mengenakan hukum mati sendiri, sehingga kini ianya menjadi bahan perbahasan. Ada yang menyatakan ianya adalah undang-undang yang keras, tidak bertamadun dan ketinggalan zaman kerana ianya bercanggah dengan hak asasi manusia.

Memandangkan persepsi masyarakat berbeza, ada negara yang meneruskan hukum mati dan ada negara yang tidak. Hatta bagi negara yang mengekalkan hukum mati mereka juga tidak sepakat tentang kaedah untuk melaksanakan undang-undang hukum mati tersebut.

Menyuntik Racun

Ada yang setuju dengan kaedah menggantung penjenayah. Ada pula yang setuju ianya dilaksanakan dengan cara menembak penjenayah dan ada pula yang setuju ianya dilaksanakan dengan cara menyuntik racun atau menggunakan bilik gas beracun. Bagi yang memilih untuk menggantung, mereka berpendapat hukuman tembak adalah terlalu keras dan tidak bertamadun dan begitulah sebaliknya.

Hatta ada juga para sarjana undang-undang yang berhujah undang-undang memenjarakan penjenayah juga bukan sahaja zalim tetapi juga tidak berkesan mengurangkan kadar jenayah. Ini kerana hukuman penjara bukan sahaja menghukum penjenayah yang melakukan jenayah tetapi juga ianya menghukum orang lain yang tidak terlibat dengan jenayah yang dilakukan oleh penjenayah tersebut.

Sebagai contoh jika seorang pencuri dipenjarakan, ianya bukan sahaja menghukum pencuri tetapi juga menghukum isteri dan anak-anaknya kerana mereka dengan secara paksa dipisahkan dari suami dan bapa mereka. Ia juga menghukum pembayar cukai yang terpaksa menanggung makan dan minum si pencuri tersebut di penjara. Tidakkah ini zalim?

Negara kita mengenakan hukuman penjara ke atas pencuri namun secara jujur adakah undang-undang tersebut telah berjaya mengurangkan kadar jenayah kecurian dalam negara ini? Pada masa kini kecurian juga boleh berlaku di dalam balai polis sendiri, tempat yang sepatutnya paling selamat.

Penjara semakin sesak menunjukkan tiada kesan positif langkah ini

Selanjutnya jika kita mempelajari falsafah, prinsip dan teori hukuman kita tentu biasa dengan istilah pencegahan. Tujuan hukuman antara lain adalah untuk mencegah. Hukuman potong tangan sebagai contoh memenuhi kriteria pencegahan kerana ianya bukan sahaja menakutkan pencuri tetapi juga orang-orang yang mungkin ada niat mencuri.

Pengaiban

Hukuman tersebut juga satu bentuk pengaiban yang paling baik kepada penjenayah. Tangan kudung sejak dari lahir atau tangan kudung kerana dipotong oleh doktor atas alasan kesihatan sudah tentu tidak sama aibnya dengan tangan kudung kerana menjalani hukuman kerana mencuri.

Seperkara lagi yang perlu kita faham meskipun hukum hudud secara relatifnya mengandungi hukuman yang agak keras ianya juga dalam masa yang sama menuntut satu kaedah pembuktian yang paling ketat. Dalam bahasa undang-undang, jenayah hudud menuntut satu standard pembuktian yang lebih tinggi dari undang-undang jenayah yang diamalkan sekarang.

Standard pembuktian jenayah hudud adalah melampaui segala keraguan sedangkan undang-undnag jenayah yang sedia ada hanya mengenakan standard pembuktian 'melampaui keraguan munasabah' sahaja. Jadi undang-undang manakah yang lebih melindungi hak orang yang dituduh?

Lalat Sebagai Penyakit dan Penawar.

Oleh: zharifjenn

Dari Abi Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: Apabila lalat jatuh ke dalam minuman salah seorang di antara kamu maka rendamkanlah lalat itu kemudian buanglah. Kerana pada salah satu sayapnya terdapat penyakit dan pada sayap yang lain terdapat ubat.
Hadis ini benar-benar pelik. Bolehkah lalat yang dikenali sebagai binatang pengotor mempunyai penawar kepada penyakit yang dibawanya?
Secara Logik
Lalat memang dikenali sebagai binatang pengotor dan pembawa penyakit. Hal ini sepertimana yang telah diterangkan dalam hadis di atas ‘sesungguhnya pada sebelah sayapnya terdapat penyakit’. Namun perlu difikirkan kenapakah kekotoran, iaitu merujuk kepada pelbagai jenis bakteria yang terdapat pada tubuh badan lalat ini tidak mengakibatkan penyakit kepada lalat itu sendiri?
Jawapannya adalah kerana lalat memiliki daya tahanan badan semulajadi yang menghasilkan sejenis toksin yang bertindak sebagai penawar (antidote) yang memelihara dirinya daripada bahaya bakteria-bakteria tersebut.
Secara Saintifik
Islam menghendaki kita supaya menjaga kebersihan bukan sahaja pada pakaian dan tempat tinggal malah pada makanan dan juga minuman. Rasulullah SAW amat menitikberatkan hal ini sehinggakan apabila seekor lalat pun yang memasuki makanan atau minuman, baginda menyuruh kita berwaspada terhadap penyakit yang bakal menimpa seperti keracunan makanan dan sebagainya.
sitoplasma dapat membunuh kuman dari lalat
Apa yang disebutkan di dalam hadis di atas telah pun dibuat kajian oleh para saintis pada zaman kemudiannya. Contohnya pada tahun 1871, Prof. Brefild, Ilmuwan Jerman dari Universiti Hall menemui mikroorganisma jenis Fitriat yang diberi nama Ambaza Mouski dari golongan Antomofterali. Mikroorganisma ini hidup di bawah tingkat zat minyak di dalam perut lalat. Ambaza Mouski ini berkumpul di dalam sel-sel sehingga membentuk kekuatan yang besar. Kemudian sel-sel itu akan pecah dan mengeluarkan sitoplasma yang dapat membunuh kuman-kuman penyakit. Sel-sel tersebut terdapat di sekitar bahagian ke tiga dari tubuh lalat, iaitu pada bahagian perut dan ke bawah. 
Kemudian pada tahun 1947, Ernestein seorang Inggeris juga menyelidiki Fitriat pada lalat ini. Hasil penyelidikannya menyimpulkan bahawa fitriat tersebut dapat memusnahkan pelbagai bakteria. 
Tahun 1950, Roleos dari Switzerland juga menemui mikroorganisma ini dan memberi nama Javasin. Para peneliti lain iaitu Prof. Kock, Famer (Inggeris), Rose, Etlengger (German) dan Blatner (Switzerland) melakukan penyelidikan dan membuat kesimpulan yang sama tentang mikroorganisma pada lalat sekali gus membuktikan bahawa pelbagai penyakit dan bakteria pada lalat hanya terdapat pada hujung kakinya saja dan bukan pada seluruh badannya. Justeru mikroorganisma yang dapat membunuh kuman itu tidak dapat keluar dari tubuh lalat kecuali setelah disentuh oleh benda cair. Cairan ini dapat menambah tekanan pada sel-sel yang mengandungi mikroorganisma penolak kuman sehingga pecah dan memercikkan mikroorganisma istimewa ini. 
Maka adalah ternyata bahawa apa yang dikatakan oleh Rasulullah adalah benar iaitu saranan baginda kepada kita agar menenggelamkan lalat terlebih dahulu ke dalam air bagi mengeluarkan mikroorganisma penolak kuman dari badan lalat tersebut, dalam erti kata bahawa badannya harus dibasahkan sebelum membuangnya dan air yang menjadi tempat pendaratan lalat tadi dapat diminum dengan selamat. Subhanallah betapa hebatnya junjungan kita, Nabi Muhammad SAW.