Pages

Followers

Thank you!

Alhamdulillah, this is our pageviews by countries for this year.

Muslim Women are Queens!


A British man came to Sheikh and asked:

"Why is not permissible in Islam for women...not to shake hands with a man?"


The Sheikh said:

"Can you shake hands with Queen Elizabeth?"

British man said:

"Of course not, there are only certain people who can shake hands with Queen Elizabeth".

Sheikh replied:

"Our women are Queens and Queens do not shake hand..."

Cinta Sejati Seorang Ibu


Wanita itu sudah tua, namun semangat perjuangannya tetap menyala seperti wanita yang masih muda. Setiap tutur kata yang dikeluarkannya selalu menjadi pendorong dan bualan orang disekitarnya. Maklumlah, ia memang seorang penyair dua zaman, maka tidak kurang pula bercakap dalam bentuk syair.

Al-Khansa bin Amru, demikianlah nama wanita itu. Dia merupakan wanita yang terkenal cantik dan pandai di kalangan orang Arab. Dia pernah bersyair mengenang kematian saudaranya yang bernama Sakhr :

"Setiap mega terbit, dia mengingatkan aku pada Sakhr, malang . Aku pula masih teringatkan dia setiap mega hilang di ufuk barat. Kalaulah tidak kerana terlalu ramai orang menangis di sampingku ke atas mayat-mayat mereka, nescaya aku bunuh diriku."

Setelah Khansa memeluk Islam, keberanian dan kepandaiannya bersyair telah digunakan untuk menyemarakkan semangat para pejuang Islam.

Beliau mempunyai empat orang putera yang kesemuanya diajar ilmu bersyair dan dididik berjuang dengan berani. Kemudian puteranya itu telah diserahkan untuk berjuang demi kemenangan dan kepentingan Islam. Khansa telah mengajar anaknya sejak kecil lagi agar jangan takut menghadapi peperangan dan cabaran.

Pada tahun 14 Hijrah, Khalifah Umar Ibnul Khattab menyediakan satu pasukan tempur untuk menentang Farsi. Semua umat Islam dari berbagai kabilah telah dikerahkan untuk menuju ke medan perang, maka berkumpullah seramai 41,000 orang tentera. Khansa telah mengerahkan keempat-empat puteranya agar ikut mengangkat senjata dalam perang suci itu. Khansa sendiri juga ikut ke medan perang dalam kumpulan pasukan wanita yang bertugas merawat dan menaikkan semangat pejuang tentera Islam.

Nasihat Khansa kepada anak-anaknya, "Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan rela hati. Kemudian kamu berhijrah dengan sukarela pula. Demi Allah, yang tiada Tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian adalah putera-putera dari seorang lelaki dan seorang wanita. Aku tidak pernah mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah memburuk-burukkan saudara-maramu, aku tidak pernah merendahkan keturunan kamu, dan aku tidak pernah mengubah perhubungan kamu. Kamu telah tahu pahala yang disediakan oleh Allah kepada kaum muslimin dalam memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah bahawasanya kampung yang kekal itu lebih baik daripada kampung yang binasa."

Kemudian Khansa membacakan satu ayat dari surah Ali Imran yang bermaksud, "Wahai orang yang beriman! Sabarlah, dan sempurnakanlah kesabaran itu, dan teguhkanlah kedudukan kamu, dan patuhlah kepada Allah, moga-moga menjadi orang yang beruntung."

Putera-putera Khansa tertunduk khusyuk mendengar nasihat bonda yang disayanginya.

Seterusnya Khansa berkata, "Jika kalian bangun esok pagi, insyaAllah dalam keadaan selamat, maka keluarlah untuk berperang dengan musuh kamu. Gunakanlah semua pengalamanmu dan mohonlah pertolongan dari Allah. Jika kamu melihat api pertempuran semakin hebat dan kamu dikelilingi oleh api peperangan yang sedang bergejolak, masuklah kamu ke dalamnya. Dan dapatkanlah puncanya ketika terjadi perlagaan pertempurannya, semoga kamu akan berjaya mendapat balasan di kampung yang abadi, dan tempat tinggal yang kekal."

Subuh esoknya semua tentera Islam sudah berada di tikar sembahyang masing-masing untuk mengerjakan perintah Allah iaitu solat Subuh, kemudian berdoa moga-moga Allah memberikan mereka kemenangan atau syurga.

Kemudian Saad bin Abu Waqas panglima besar Islam telah memberikan arahan agar bersiap-sedia sebaik saja semboyan perang berbunyi. Perang satu lawan satu pun bermula dua hari. Pada hari ketiga bermulalah pertempuran besar-besaran. 41,000 orang tentera Islam melawan tentera Farsi yang berjumlah 200,000 orang. Pasukan Islam mendapat tentangan hebat, namun mereka tetap yakin akan pertolongan Allah .

Putera-putera Khansa maju untuk merebut peluang memasuki syurga. Berkat dorongan dan nasihat dari bondanya, mereka tidak sedikit pun berasa takut. Sambil mengibas-ngibaskan pedang, salah seorang dari mereka bersyair,

"Hai saudara-saudaraku! Ibu tua kita yang banyak pengalaman itu, telah memanggil kita semalam dan membekalkan nasihat. Semua mutiara yang keluar dari mulutnya bernas dan berfaedah. InsyaAllah akan kita buktikan sedikit masa lagi."

Kemudian dia maju menetak setiap musuh yang datang. Seterusnya disusul pula oleh anak kedua maju dan menentang setiap musuh yang mencabar. Dengan semangat yang berapi-api dia bersyair,

"Demi Allah! Kami tidak akan melanggar nasihat dari ibu tua kami Nasihatnya wajib ditaati dengan ikhlas dan rela hati Segeralah bertempur, segeralah bertarung dan menggempur musuh-musuh bersama-sama sehingga kau lihat keluarga Kaisar musnah."

Anak Khansa yang ketiga pula segera melompat dengan beraninya dan bersyair,

"Sungguh ibu tua kami kuat keazamannya, tetap tegas tidak goncang. Beliau telah menggalakkan kita agar bertindak cekap dan berakal cemerlang. Itulah nasihat seorang ibu tua yang mengambil berat terhadap anak-anaknya sendiri. Mari! Segera memasuki medan tempur dan segeralah untuk mempertahankan diri. Dapatkan kemenangan yang bakal membawa kegembiraan di dalam hati Atau tempuhlah kematian yang bakal mewarisi kehidupan yang abadi."

Akhir sekali anak keempat menghunus pedang dan melompat menyusul abang-abangnya. Untuk menaikkan semangatnya ia pun bersyair,

"Bukanlah aku putera Khansa', bukanlah aku anak jantan dan bukanlah pula kerana 'Amru yang pujiannya sudah lama terkenal. Kalau aku tidak membuat tentera asing yang berkelompok-kelompok itu terjunam ke jurang bahaya, dan musnah mangsa oleh senjataku."

Bergelutlah keempat-empat putera Khansa dengan tekad bulat untuk mendapatkan syurga diiringi oleh doa munajat bondanya yang berada di garis belakang. Pertempuran terus hebat. Tentera Islam pada mulanya kebingungan dan kacau kerana pada mulanya tentera Farsi menggunakan tentera bergajah di barisan hadapan, sementara tentera berjalan kaki berlindung di belakang binatang tahan lasak itu.

Namun tentera Islam dapat mencederakan gajah-gajah itu dengan memanah mata dan bahagian-bahagian lainnya. Gajah yang cedera itu marah dengan menghempaskan tuan yang menungganginya, memijak-mijak tentera Farsi yang lainnya.

Kesempatan ini digunakan oleh pihak Islam untuk memusnahkan mereka. Panglima perang bermahkota Farsi dapat dipenggal kepalanya, akhirnya mereka lari lintang-pukang menyeberangi sungai dan dipanah oleh pasukan Islam hingga air sungai menjadi merah. Pasukan Farsi kalah teruk, dari 200,000 tenteranya hanya sebahagian kecil saja yang dapat menyelamatkan diri.

Umat Islam lega.

Kini mereka mengumpul dan mengira tentera Islam yang gugur. Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan Kadisia itu berjumlah lebih kurang 7,000 orang. Dan daripada 7,000 orang syuhada itu terbujur empat orang adik-beradik Khansa. Seketika itu juga ramailah tentera Islam yang datang menemui Khansa memberitahukan bahawa keempat-empat anaknya telah menemui syahid. Al-Khansa menerima berita itu dengan tenang, gembira dan hati tidak bergoncang. Al-Khansa terus memuji Allah dengan ucapan,

"Segala puji bagi Allah, yang telah memuliakanku dengan mensyahidkan mereka, dan aku mengaharapkan dari Tuhanku, agar Dia mengumpulkan aku dengan mereka di tempat tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!"

Al-Khansa kembali semula ke Madinah bersama para perajurit yang masih hidup dengan meninggalkan mayat-mayat puteranya di medan pertempuran Kadisia. Dari peristiwa peperangan itu pula wanita penyair ini mendapat gelaran kehormatan 'Ummu syuhada' yang ertinya ibu kepada orang-orang yang mati syahid.

- Artikel iluvislam.com

Penawar Marah



Terdapat pelbagai kaedah untuk menangani kemarahan. Kaedah-kaedah tersebut bolehlah dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama ialah kaedah untuk mengelakkan kemarahan. Bahagian kedua ialah kaedah untuk meredakan kemarahan dan menghilangkannya.
Kaedah pertama: Mengelakkan Kemarahan
1. Menghiasi diri dengan sifat pemaaf
Di dalam al-Quran Allah SWT memuji orang-orang yang menahan kemarahan dan memaafkan orang lain: "Iaitu orang-orang Yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara Yang baik (Surah Al ‘Imran 3: 134)
Sirah Rasulullah SAW para rasul dan para nabi penuh dengan kisah-kisah kemaafan kepada umat mereka. Walaupun mereka ditentang habis-habisan, dimaki hamun, dicerca dan diancam akan dibunuh mereka tetap memaafkan umat dan berharap umat mereka akan sedar dan menerima hidayah. Sebagi contoh Rasulullah SAW di dalam peperangan Uhud telah luka di muka dan patah giginya, tetapi baginda menolak cadangan supaya memohon diturunkan bala kepada kaum musyrikin. Sebaliknya baginda berdoa, “Ya Allah Ya Tuhanku, berilah hidayat kepada kaum ku. Sesungguhnya mereka tidak memahami”. Kesabaran itulah menjadi sumber ketenangan para rasul dan nabi dalam menghadapi pelbagai ujian dan tribulasi dalam usaha dakwah mereka.
2. Mengelakkan Diri Dari Faktor-faktor Yang Menimbulkan Kemarahan
Kita hendaklah mengenali diri kita terlebih dahulu. Apakah yang kita suka dan apakah yang kita benci. Kita hendaklah mengelakkan diri daripada perkara yang kita benci agar tidak menimbulkan kemarahan. Sebagai contohnya jika kita tidak suka kepada sesuatu tabiat merokok rakan kita, kita hendaklah menyatakannya dengan penuh hikmah. Apabila rakan kita memahaminya, dia akan cuba menghindari tabiat buruknya apabila bersama kita.
3. Berdoa
Berdoa merupakan langkah yang amat berkesan untuk mengelakkan diri kita mudah rasa marah. Antara doa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW ialah:
Doa pertama:
اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيّهَا وَمَوْلاَهَا
Maksudnya: Ya Allah berikanlah kekuatan jiwa padaku, sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling elok yang menyucikannya, Engkaulah walinya dan Engkaulah tuannya.
Doa kedua (sebelum dan selepas tidur):
اللَّهُمَّ عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَاطِرَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ رَبَّ كُلِّ شَىْءٍ وَمَلِيكَهُ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ نَفْسِى وَمِنْ شَرِّ الشَّيْطَانِ وَشِرْكِهِ
Maksudnya: Ya Allah Ya Tuhanku, Yanga Maha Mengetahui Perkara Yang Gahib dan Nyata, Pencipta langit dan bumi, Tuhan segala sesuatu dan Pemiliknya. Aku bersaksi tida Tuhan melainkan Engkau. Aku Memohon dengan Engkau daripada keburukan diriku dan daripada keburukan Syaitan serta sekutunya.
Doa yang kedua ini diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada Abu Bakr al-Siddiq r.a.

Kaedah Kedua: Meredakan Kemarahan
Apabila timbul kemarahan dalam diri kita disebabkan faktor-faktor tertentu, kita hendaklah cuba meredakannya. Antara kaedah yang boleh digunakan untuk meredakan kemarahan ialah:
1. Mengambil wuduk
Sabda Rasulullah SAW:
إن الغضب من الشيطان وإن الشيطان خلق من النار وإنما تطفأ النار بالماء، فإذا غضب أحدكم فليتوضأ[i]
Maksudnya: Sesungguhnya kemarahan itu datang daripada syaitan. Sesungguhnya syaitan itu dijadikan daripada api. Hanya terpadam api itu dengan air. Maka jika kamu merasa marah maka hendaklah kamu berwuduk.
2. Mengubah ke posisi yang lebih rendah
Seseorang yang marah boleh meredakan kemarahannya dengan mengubah posisinya kepada yang lebih rendah. Umpamanya jika dia dalam keadaan berdiri, dia hendaklah duduk, dan jika dia dalam keadaan duduk, dia hendaklah berbaring. Sabda Rasulullah SAW:
إذا غضب أحدكم وهو قائم فليجلس، فإن ذهب عنه الغضب، وإلا فليضطجع[ii]
Maksudnya: Jika kamu merasa marah sedangkan kamu sedang berdiri hendaklah kamu duduk, jika kemarahan itu hilang (maka tidak mengapa), jika tidak (juga reda kemarahan itu) maka hendaklah kamu berbaring.
3. Mendiamkan diri
Sabda Rasulullah SAW:
إذا غضب أحدكم فليسكت[iii]
Maksudnya: Jika kamu merasa marah, maka diam (tidak berkata-kata).
Mendiamkan diri adalah penawar yang mujarab kepada kemarahan. Ia akan memberi ruang untuk kita berfikir sejenak dan membuat pertimbangan berdasarkan akal bukan emosi. Jika seseorang itu melahirkan kemarahan dalam kata-kata nista ia akan mengundang padah yang lebih parah. Emosi akan menguasai diri, syaitan akan mencelah dan memainkan peranan yang membawa kepada perseteruan yang berpanjangan.
4. Mengucap Isti’azah (A’uzubillah)
Diriwayatkan bahawa pada suatu ketika dua lelaki bertengkar di sisi Rasulullah SAW. Salah seorang yang merah mukanya mencela seorang lagi dengan penuh kemarahan. Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya aku akan mengajar kamu satu kalimah yang jika dibacakannya akan hilang kemarahannya, iaitulah bacaan (أعوذ بالله من الشيطان الرجيم).[iv]
Ucapan isti’azah ini hendaklah dilakukan dengan penuh rasa kebergantungan kepada Allah dan memohon bantuannya daripada syaitan dan kuncu-kuncunya. Firman Allah, Maksudnya: Jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui (Surah al-A’raf 7: 200)
Ini adalah sebahagian daripada langkah-langkah untuk membendung perasaan marah. Apabila kurang perasaan marah, jiwa kita akan tenang dan tenteram.

[i] Al-Tabrani, al-Jami’ al-Kabir, jil. 17, hlm. 167.
[ii] Al-Haythami, al-Hafiz Nur al-Din ‘Ali ibn Abi Bakr, 1412H/1992M. Majma’ al-Zawa’id wa manba’ al-Fawa’id, (Beirut: Dar al-Fikr), jil. 7, hlm. 386.
[iii] Al-San'ani, Muhammad ibn Isma'il, 1408H/1988M. Subul al-salam sharh bulugh al-maram, taqdim Muhammad 'Abd al-Qadir Ahmad 'Ata, (Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah), jil. 4, hlm. 334.
[iv] Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, kitab al-adab, bab al-hidhr min al-ghadab, jil. 5, hlm. 2267.