Pages

Followers

Berkhatan Lindung Wanita Dari Kanser Serviks

WASHINGTON: Amalan berkhatan didapati mampu melindungi seseorang daripada jangkitan virus yang menyebabkan kanser serviks. Penyelidik dari Universiti Johns Hopkins mendapati, pasangan lelaki berkhatan mempunyai kadar jangkitan human papillomavirus (HPV) 28 peratus lebih rendah daripada biasa.
Dalam laporan disiarkan di jurnal perubatan Lancet semalam, seorang daripada penyelidik terbabit, Dr Maria Wawer, berkata amalan berkhatan sepatutnya diterima umum sebagai langkah mengawal penyebaran HPV di kalangan wanita.

“Bagaimanapun, ia hanyalah sebahagian daripada langkah perlindungan.
“Amalan seks yang selamat juga penting,” katanya. Penyelidik diketuai Maria mendapati, lelaki berkhatan juga kurang berisiko dijangkiti virus HIV yang menyebabkan seseorang menghidap Aids.


Mereka juga mengumpulkan maklumat mengenai hampir 1,000 wanita dijangkiti HPV yang dikenal pasti sebagai pasangan seks suami masing-masing. Selepas dua tahun, hanya 27.8 peratus daripada pasangan lelaki berkhatan dijangkiti virus berkenaan berbanding 38.7 peratus di kalangan lelaki tidak berkhatan.

Jangkitan HPV dikenali sebagai punca utama seseorang wanita mendapat kanser serviks. Bagaimanapun, ia juga boleh menyebabkan masalah sama pada dubur, zakar, kepala dan leher. - Reuters

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Berkhatan adalah memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar lelaki atau memotong sedikit hujung daging yang ada di sebelah atas faraj perempuan. Berdasarkan mazhab Syafie, amalan berkhatan diwajibkan sama ada untuk lelaki atau perempuan. Ia termasuk antara amalan yang disyariatkan Allah sebagai pelengkap fitrah semula jadi manusia.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Fitrah (sifat semula jadi) itu lima perkara: Berkhatan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak." (Bukhari, Muslim)

Sepatutnya kita tidak perlu musykil dengan perintah dalam ajaran Islam. Ini kerana Islam ingin menjaga kebersihan dan martabat sesama manusia. Jangan terikut-ikut dengan idea yang dikemukakan pihak barat atau orientalis serta pengikut mereka yang cuba menidakkan amalan berkhatan terutama bagi wanita. Tapi alhamdulillah, sekarang amalan berkhatan bagi lelaki sudah mula diterima di Barat.

Di kampung-kampung kita, selalunya kanak-kanak perempuan, sebaik dia dilahirkan terus dikhatan oleh bidan kampung. Itulah tradisi berteraskan Islam yang cukup cantik..
Wallhu aklam.

2 comments: