Pages

Followers

Malu sebagai identiti Islam


Daripada Abi Mas’ud Uqabah bin ‘Amr al-Ansari al-Badri Ra berkata: Bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya sebahagian daripada apa yang telah dikenali orang daripada ungkapan kenabian yang pertama adalah: jika engkau tidak malu berbuatlah sekehendak. (Riwayat Bukhari)

Mengamalkan Sifat Malu

Hadis di atas menjelaskan bahawa jika rasa malu telah hilang daripada dada seseorang, maka hilanglah tabiat-tabiat mulia dan sebahagian daripada akhlak Islam. Kerana sebahagian daripada sifat-sifat mulia diasaskan oleh rasa malu. Dengan itu malu membentuk keperibadian dan maruah seseorang.

Perlu kita ketahui bahawa malu itu ada dua macam:

Pertama: malu yang tumbuh sebagai pembawaan dan tabiat yang tidak melalui proses pembentukan. Ini merupakan satu daripada bentuk-bentuk akhlak yang paling mulia yang dikurniakan Allah kepada hamba dan yang dengan sengaja Dia ciptakan untuk hamba-Nya itu. Kerana itulah Rasulullah bersabda: Malu itu tidak akan wujud kecuali untuk kebaikan.

Malu dapat mencegah diri daripada perbuatan keji dan hina. Diriwayatkan daripada Umar RA yang berkata: Barang siapa yang malu maka ia akan menutupi diri, dan barang siapa yang menutupi diri maka ia telah menjaga diri, dan barang siapa menjaga diri maka ia mendapatkan perlindungan.

Sedangkan Al-Jarrah bin Abdulah Al-Hukmi, salah seorang pasukan berkuda dari Syam, mengatakan: Aku meninggalkan dosa-dosa itu empat puluh tahun kerana malu, baru kemudian muncul sikap warak pada diriku. Aku melihat kemaksiatan itu sebagai keburukan, maka aku meningalkannya kerana pertimbangkan harga diri, dan terhindarlah nilai agama yang ada.

Kedua: Malu hasil daripada proses pembentukan kerana pengaruh bermakrifat kepada Allah. Maksud makrifat kepada Allah di sini adalah mengetahui keagungan-Nya inilah karakter keimanan yang tertinggi , bahkan inilah darjat ihsan yang paling tinggi. Malu juga boleh terlahir daripada bagaimana cara seseorang itu melihat nikmat-nikmat-Nya dan bagaimana pula mensyukuri-Nya.


Malu Sebagai Sifat Muslim

Corak hidup manusia di alam ini, dan kebahagiannya yang abadi di alam akhirat kelak sangat tergantung kepada rasa malu yang ada pada dirinya.

Allah SWT yang Maha Bijaksana menciptakan rasa malu dalam diri wanita berlipat ganda lebih besar berbanding rasa malu yang dimiliki oleh lelaki. Namun sungguh malang, rasa malu pada diri wanita itu kini telah terhakis, hingga ramai wanita tidak lagi mempunyai rasa malu.

Daripada itulah, kejahatan dari hari ke sehari semakin bertambah banyak. Sehingga benarlah atas apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW: Kiamat tidak akan terjadi sampai rasa malu telah lenyap daripada anak-anak dan perempuan
(Bihar Al-Anwar, cetakan baru, jilid VI,ms.365)

Imam Al-Baqir mengatakan: Rasa malu dan iman adalah dua perkara yang dihubungkan oleh satu garis. Jika salah satu di antaranya hilang, maka yang lain akan mengikutinya.

Sedangkan Imam Jaafar As-Sadiq mengatakan: Tidak beriman orang yang tidak memiliki rasa malu.

Diriwayatkan daripada Imam Jaafar As-Sadiq bahawasanya beliau berkata: Rasa malu itu ada sepuluh bahagian. Sembilan bahagian di antaranya ada pada perempuan, dan yang satu bahagian ada pada kaum lelaki. Jika perempuan sudah mulai haid hilang satu bahagian rasa malunya. Jika dia sudah menikah, hilang lagi satu bahagian. Jika dia sudah digauli hilang satu bahagian lagi, jika melahirkan anak hilang lagi satu bahagian. Sehingga rasa malunya hanya tinggal lima bahagian. Dan jika dia berbuat dosa, maka rasa malu itu akan hilang semuanya. Tetapi bila tingkah lakunya baik, maka rasa malu itu masih akan berbaki lima bahagian.(Bihar Al-Mawar. Jilid VI, cetakan baru, ms 244)

Apakah Rasa Malu Itu?

Rasa malu (al-haya’) ialah suatu sifat yang ‘alami dalam diri manusia, yang menjadikannya merasa tidak selasa ketika dia melakukan perbuatan buruk dan haram. Dia dapat mencegah dirinya untuk tidak melakukan perbuatan terlarang, kerana adanya perasaan ‘alami dan fitrah itu.

Sayyid Jamaluddin Al-Asadabadi dalam bukunya Al-Radd ‘ala al-Madiyyin, mengatakan: Dengan kata yang mulia itu (rasa malu) hak-hak manusia terhormati, dan mereka tidak melanggar batas-batas yang telah ditentukan.

Begitu pula dengan rasa malu, seseorang memelihara hak ayah, ibu, anak, guru dan setiap orang yang berbuat baik kepadanya. Dia tidak berkhianat, mengingkari janji, atau menolak orang yang meminta pertolongan kepadanya. Dengan perasaan malu seseorang tidak akan melakukan perbuatan keji dan perbuatan yang tidak sesuai dengan dirinya.

Sungguh rasa malu dapat dijadikan tindakan pencegahan terhadap segala macam kerosakan. Ia lebih bermanfaat berbanding ratusan peraturan dan undang-undang. Sesungguhnya orang-orang yang mencintai kebaikan, menginginkan hilangnya kezaliman, harus berusaha agar sifat rasa malu tidak terlepas daripada diri mereka, bahkan mereka harus menghidupkan dan menumbuhkannya.

Cara Mengekalkan Rasa Malu

Jalan untuk menghidupkan dan membajai rasa malu antara lain:

1. Setiap orang hendaknya menyedari apa yang mereka katakan dan mereka lakukan. Sehingga mereka tidak keluar daripada suatu bertentangan dengan rasa malu, yang menyebabkan orang lain lebih berani bertindak kepadanya. Misalnya, hendaknya dia tidak mengucapkan kata-kata kotor dihadapan kanak-kanak, tidak berbohong dan tidak mengingkari janji. Hal ini dilakukan demi menumbuhkan rasa malu pada diri anak-anak.

2. Jika dia melihat orang lain berkata atau berbuat yang tidak baik tanpa rasa malu sedikit pun, maka hendaknya dia mengatakan bahawa hal itu tidak baik. Di samping itu itu hendaknya dia memberi amaran kepada orang yang melakukan perkara yang tidak baik itu, agar perbuatan itu tidak diulangi semula. Misalnya, ucapan keji ketika seseorang bertemu dengan rakannya, terutamanya dia sedang dalam keadaan marah.

3. Jika dia melihat orang merasa malu, kerana ucapan atau perbuatannya, maka hendaknya dia memujinya, atau memberikan motivasi kepada orang tersebut agar dia tetap istiqamah dengan sikapnya itu.


Timbul Rasa Malu Bermula Dari Mata

Banyak pelajaran yang dapat kita petik daripada berbagai riwayat dan nasihat para ulama, bahawa timbulnya akhlak yang mulia pada manusia nampak dari matanya.

Oleh itulah kita dilarang untuk meminta tolong atau bantuan kepada orang yang tidak melihat (buta), sebagaimana kita dilarang untuk meminta tolong di malam yang gelap gelita, meskipun kepada orang yang tidak buta, kerana kedua-dua mata orang tadi tidak dapat melihat dalam kegelapan. Asalnya ia, kerana kedua-dua keadaan tersebut tidak akan menimbulkan rasa malu.

Saat-saat Tidak Tepat Bagi Kita Untuk Malu

Kadangkala manusia melakukan kesalahan dan merasa bahawa perbuatan yang baik digambarkan olehnya sebagai suatu perbuatan yang buruk, kerana dia merasa malu. Misalnya, malu bertanya tentang perkara-perkara dia ketahui, terutamanya yang berkaitan dengan agama. Malu seperti ini menurut sebahagian riwayat, dinamakan malu orang bodoh, sebagai dikatakan: Tidak ada malu dalam masalah agama.

Pendek kata, rasa malu dalam mempelajari masalah-masalah agama, adalah salah. Seperti rasa malu untuk menampakkan kebenaran dan mengambil keputusan untuk sesuatu yang benar, untuk menampakkan kebenaran orang lain, atau menyatakan hak orang lain yang benar. Malu dalam perkara-perkara tersebut adalah bertentangan dengan syarak.

Juga, rasa malu yang salah adalah malu pada perkara-perkara yang sifatnya sudah kita terima, yang berada di luar kemampuan manusia untuk mengubahnya, sehingga tidak masuk akal bila ada orang yang mehinanya. Misalnya, bentuk tubuh yang terlalu tinggi atau terlalu pendek, badan yang kurus atau sangat gemuk, rupa yang buruk dan hodoh, atau rambut yang terlalu hitam. Dalam perkara-perkara tersebut tidak boleh ada rasa malu, kerana hal itu bukanlah sesuatu yang buruk melainkan fitrah.

Saat-Saat Kita Patut Merasa Malu

Semua perbuatan yang dianggap oleh akal dan agama sebagai sesuatu yang buruk dan tidak masuk akal, patut merasa malu bila kita melakukannya. Sehingga dengan begitu, kita tidak mendekati perbuatan tersebut, dan menjadikan kita orang terpuji.

Rasa malu seperti itu terbahagi kepada dua bahagian :

1. Rasa malu terhadap manusia, yakni seseorang meninggalkan suatu perbuatan yang kurang terpuji kerana takut dilihat oleh orang lain, sehingga dia merasa malu.

2. Rasa malu terhadap Allah, iaitu kesedarannya bahawa Allah sentiasa mengetahui perbuatannya. Dia selalu mengawasi dan menperhatikan dirinya, apakah dia dalam keadaan seorang diri atau berada di tengah-tengah orang ramai. Sama ada dia dilihat orang atau tidak dilihat, dia tetap merasakan Allah selalu berada disampingnya, melihat dan mengawasinya sehingga dia berasa malu kepada-Nya dan meninggalkan perbuatan yang tidak baik.

Sesungguhnya kesempurnaan manusia adalah bila dia telah memiliki rasa malu dalam bahagian yang kedua di atas. Kesengsaraan dan kehinaan masih mungkin akan didapati oleh seseorang bila dia merasa malu dilihat oleh orang lain, tetapi dia tidak merasa malu dilihat oleh Allah SWT. Orang lain tidaklah memiliki kemampuan untuk memberikan kebaikan, atau sebaliknya, mendatangkan kesengsaraan baginya, tetapi Allah SWT pasti mampu melakukannya.

Sesungguhnya para pengkhianat biasa menyembunyikan perbuatan mereka daripada pandangan manusia, dan merasa malu apabila dilihat oleh mereka. Akan tetapi, mereka tidak malu kepada Allah SWT yang selalu bersama mereka. Mereka berbicara tentang sesuatu yang tidak diredhai oleh-Nya, pada hal Allah mengetahui segala sesuatu yang mereka lakukan. Allah SWT berfirman: Mereka bersembunyi daripada manusia, tetapi mereka tidak bersembunyi daripada Allah, pada hal Allah berserta mereka, ketika pada suatu malam mereka menetapkan keputusan rahsia yang Allah tidak redhai. Dan adalah Allah Maha Meliputi terhadap apa yang mereka kerjakan.

No comments:

Post a Comment