Pages

Followers

Jenis2 cinta dalam Islam

21 Zulkaedah 1431 H
Oleh : AKHISALMAN

INTRO
Cinta ini mengasyikkan sehingga si Majnun melupakan dirinya dan asyik mengingati kekasihnya laila. Dia berkata dalam rangkap syairnya:

“ Aku cuba untuk melupakan untuk mengingatinya tetapi seolah-olah
Laila menjelma dalam diriku pada setiap keadaan”

Setiap manusia ada benda yang dicintainya samada wanita, harta, tahkta, dunia, dirinya dan sebagainya. Kita hendak lihat ditahap mana cinta kita. Di bawah ulama telah menggariskan lima jenis cinta.

LIMA JENIS CINTA

Lima jenis cinta adalah seperti berikut:

PERTAMA: Cinta kepada Allah swt. Cinta Allah sahaja tidak cukup untuk bebas dari azab Allah swt kerana orang-orang musyrikin dan penyembah berhala juga mencintai Allah swt. Mereka mempunyai jenis cinta yang keempat iaitu syirkul mahabbah.

KEDUA: Menyintai apa yang Allah cintai. Inilah yang membezakan diantara orang Islam dan orang kafir. Orang yang paling disayangi oleh Allah adalah orang yang paling kuat cinta jenis ini. Apa yang dicintai oleh Allah swt adalah begitu banyak disebut dalam al-Quran dan hadis Rasulullah saw. Antaranya yang disebut dalam al-Quran adalah:

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.”

Ayat 4 surah as-Saff.

Ada lapan golongan yang dikasihi Allah seperti dalam al-Quran iaitu 1. Al-Muttaqun. 2. Al-Muhsinun. 3. As-Sabirun. 4. At-Tawwabun. 5. Al-Mutatahhirun. 6. Al-Mutawakkilun. 7. Al-Muqsitun 8. Al-Muqatilun fi sabilillah. InsyaAllah saya akan terangkan dalam artikel akan datang.

Adapun perkara yang dikasihi Allah swt dalam hadis adalah seperti berikut:

“ Seseiapa yang cinta untuk bertemu dengan tuhan , Allah juga cinta untuk menemuinya.”

Hadis sahih Bukhari (2443)

Allah swt berfirman dalam hadis qudsi:

“ Tidak ada perkara yang lebih mendekatkan hambaku denganku daripada kefarduan yang aku fardukan kepadanya. Hambaku sentiasa mendekatkan diriku dengan amalan-amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya.”

Hadis sahih riwayat Bukhari (6137)

KETIGA: Menyintai sesuatu kerana Allah swt.

Nabi saw bersabda:

“ Sesiapa yang menyintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah dan menegah kerana Allah sesungguhnya telah sempurna imannya.”

Hadis riwayat Tirmizi (2521), Abu Daud, Ahmad dan Hakim dengan sanad yang hasan.

Nabi saw juga bersabda:

“ Tidak ada dua orang lelaki berkasih sayang kerana Allah melainkan yang terbaik diantara keduanya adalah yang paling mengasihi saudaranya.”

Hadis riwayat Hakim dan diakui oleh zahabi akan kesahihannya.

KEEMPAT: Cinta sekutu (partnership love) atau syirkul mahabbah

Setiap benda yang dicintai bukan kerana Allah dan bukan diperintah oleh Allah maka dia telah mensyirikkan cinta. Ramai yang menyintai Allah , tapi dalam masa yang sama dia menyintai benda lain bukannya kerana Allah. Inilah yang dirakamkan dalam al-Quran:

“Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah.”

Ayat 165 surah al-Baqarah

KELIMA: Cinta yang semula jadi.

Inilah yang disebut oleh Allah swt dalam kitab suci al-Quran:

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).”

Ayat 14 surah Ali Imran

Imam Ibnu Qayyim berkata:

“ Cinta ini tidak dicela kecuali sekiranya melalaikan dari mengingati Allah dan menjauhkan dari cintaNya.”

Firman Allah swt:

"Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi."

Ayat 9 surah al-Munafiqun.

Menjumpai barang yang tercicir mengikut Islam

17 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Akhi Salman

MUQADDIMAH

Sudah menjadi lumrah kita sebagai manusia, apabila kita menjumpai barang yang bukan kepunyaan kita, kita akan mengambil tindakan seperti:

1. Mengambilnya untuk kegunaan kita sendiri dengan alasan tiada yang menuntutnya.

2. Memberi atau meletakkan barang tersebut di surau/masjid.

3. Menjadikan barang tersebut sebagai satu sedekah pada orang miskin.

4. Membiarkan barang tersebut tanpa sebarang tindakan dengan alasan bahawa ada orang lain yang akan mnguruskannya.
Mengambil barang yang bukan hak milik kita atau mensedekahkannya kepada satu pihak yang tertentu walaupun dengan niat yang baik, adalah satu perbuatan yang salah dari segi syariat, kecuali setelah mengambil langkah-langkah yang telah digariskan oleh syariat.

DEFINISI LUQATAH

Harta ataupun barang yang dihormati yang dijumpai di tempat yang bukan milik individu dan ianya tidak ada tanda-tanda di bawah jagaan sesiapa dan tidak diketahui siapakah yang berhak untuk barang tersebut.

PENSYARIATAN MENGAMBIL BARANG YANG TECICIR

Nabi S.A.W. bersabda apabila ditanya tentang barang yang tercicir:

اعرف وكاءها وعفاصها ثم عرفها سنة فإن لم تعرف فاستنفقها ولتكن وديعة عندك فإن جاء طالبها يوما من الدهر فأدها إليه

“Hendaklah kamu mengenal pasti pengikat bungkusan barang tersebut dan bekas barang tersebut, kemudian hendaklah kamu wawarkan selama setahun. Sekiranya kamu tidak menjumpai tuan barang tersebut, dan hendaklah kamu simpan dan pelihara dalam jagaan kamu, dan apabila datang pemilik barang tersebut, pada bila-bila masa, hendaklah kamu menyerahkan barang itu kepadanya.”

Hadis riwayat bukhari (2295) dan Muslim (1722)

HUKUM MENGAMBIL BARANG YANG TERCICIR

Ia mempunyai 5 hukum:

1. SUNAT:
Bagi orang yang mempunyai sifat amanah dan ditakuti ianya hilang jika dia tidak mengambilnya.

2. HARUS:
Sekiranya tidak ditakuti ianya hilang jika tidak mengambilnya.

3. WAJIB:
Sekiranya dia yakin, jika dibiarkan, barang itu pasti akan hilang.

LANGKAH-LANGKAH YANG PERLU DIBUAT APABILA MENJUMPAI BARANG YANG HILANG

1. Sekiranya barang tersebut adalah barang yang remeh-temeh, iaitu yang mana manusia tidak kisah kehilangan barang tersebut, maka orang yang menjumpai boleh mengambilnya tanpa perlu mewarwarkannya atau mencari tuannya.

2. Sekiranya ia adalah barang yang bernilai, iaitu yang mana tuannya akan mencari barang tersebut, maka wajib orang yang menjumpai mewarwarkannya.

3. Maka, orang yang menjumpai barang itu tadi, hendaklah dia mengenal pasti sifat-sifat barang tersebut.

4. Orang yang menjumpai barang itu tadi hendaklah bertanya akan sifat-sifat barang itu kepada sesiapa yang mengaku sebagai tuan sebenar kepada barang tersebut.

5. Kalau si pendakwa itu menjawab dengan tepat, dan diyakini oleh orang yang menjumpainya bahawa dialah pemiliknya, maka serahkan kepadanya.

6. Sekiranya masih lagi berterusan, tidak ada yang mengaku, atau tidak diyakini pendakwa itu sebagai tuan yang sebenar, maka hendaklah orang yang menjumpainya mencari tuannya selama setahun. Tempoh masa setahun ini adalah bagi barang-barang yang sangat bernilai. Sekiranya barang itu tidak sangat bernilai, maka tempohnya tidak sampai setahun dan ianya mengikut nilai barang tersebut.

7. Tempat yang diwawarkan adalah tempat yang umum, tempat yang dihadiri oleh orang yang ramai (pasar, sekolah, perhentian-perhentian dan lain-lain).

8. Jikalau telah tamat tempoh pencarian tuan tersebut, maka dia boleh simpan sebagai harta amanah dan mengembalikan kepada tuannya sekiranya tuannya datang menuntut. Ataupun pilihan yang kedua, dia boleh memiliki barang tersebut dan membayar mengikut nilai barang tersebut sekiranya tuannya datang menuntut.

INI ADALAH PENJELASAN RINGKAS TENTANG TAJUK BARANG TERCICIR DALAM FEKAH MUAMALAT MAZHAB SYAFIE. IA PERLUKAN KEPADA PEMERINCIAN DAN PENERANGAN.