Pages

Followers

Renungkanlah..! wahai insan yg berakal

Rasulullah saw. bersabda,

"Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya."
Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Dunia dan Akhirat di Mata hati orang yg beriman

Etika menutup aurat muslimah.



Ini adalah syarat asasi menutup aurat muslimah dihadapan bukan mahram yg diutarakan oleh syeikh atiah saqar (bekas pengerusi lajnah fatwa mesir). Jika tidak ada salah satu dari syarat ini maka ia tidak dikira menutup aurat. Ianya adalah seperti berikut:

1. Hendaklah pakaian itu menutupi seluruh aurat yg telah ditetapkan. Aurat wanita didepan lelaki bukan mahram adalah seluruh badan melainkan muka dan tapak tangan. Tidak boleh yg menampak aurat walaupun kecil seperti menampakkan leher, lengan dan sebagainya.

Firman TUhan:

Maksudnya: "Dan janganlah wanita2 itu memperlihatkan perhiasannya melainkan yg zahir dan hendaklah memakai tudung yg menutup kepala sehinggalah atas dada2 mereka." (31: An-Nur)

Perhiasan yg zahir adalah muka dan tapak tangan. Ini adalah pendapat yg sedehana.

2. Hendaklah pakaian tadi tidak menampakkan warna kulit. contohnya pakaian yg jarang atau yg nipis sehinggakan nampak warna kulit.

Inilah yg Nabi sebut sebagai wanita ahli neraka:

نساء كاسيات عاريات

Maksudnya: "Perempuan yg berpakaian tetapi tidak sempurna atau yg menampakkan warna kulitnya." Hadis sahih riwayat imam Muslim.

Saidina 'Aisyah r.a apabila melihat perempuan yg memakai tudung yg nipis, beliau akan menyuruhnya memakai yg tebal dan berkata:

الخمار ما وارى البشر والشعر

Maksudnya: "Tudung adalah yg menutupi kulit dan rambut."

Suatu hari 'Aisyah r.a melihat Hafsah binti Abdurrahman (anak saudarnya) memakai tudung yg nipis sehingga menampakkan auratnya. Lalu 'Aisyah mengoyakkkan tudung tersebut dan berkata: "Adakah kamu tidak mengetahui ayat yg Allah turunkan dalam surah Nur?" kemudian beliau memakainya dgn tudung yg lain. (Hr Ibnu Saad- sanad kuat)

3. Hendaklah pakaian tersebut tidak terlampau sempit sehingga menampakkan susuk tubuh.

Daripada Usamah bin Zaid r.a: Rasulullah s.a.w memakaikanku pakaian qubtiah yg tebal yg mana pakaian itu dihadiahkan kepada Nabi s.a.w oleh Dihyah al-Kalbi r.a. Lalu aku pakaikan isteriku dgn pakaian itu. Rasul bersabda

مرها أن تجعل تحتها غلالة فإني أخاف أن تصف حجم عظامها

"Suruh isteri kamu letakkan kain dibawahnya. aku takut pakaian itu menampakkan susuk tubuhnya." Hr Ahmad dan lain2 - sanad hasan

Asma binti Abu bakar telah menerima pakaian yg nipis. Ketika itu beliau buta. Apabila sahaja beliau memegangnya maka beliau berkata " Ah, pulangkan pakaian ini kepadanya" IBnu Zubair berasa susah hati dan berkata "Wahai ibuku pakaian ini tidak menampakkan warna kulit pemakainya." Asma menjawab:

إنها إن لم تشف فإنها تصف

Maksudnya: "Sesungguhnya sekiranya ia tidak menampakkan warna kulit tetapi ia menampakkan bentuh tubuh." (Hr Ibnu Saad - sahih)

Banyak wanita yg memakai pakaian tetapi tidak mencukupi syarat2 ini maka dia tidak dianggap menutup aurat kerana 3 perkara ini syarat utama bagi menutup aurat. Jadi berapa ramaikahwanita yg benar2 menutup auratnya?

Rujukan: Mausuah alusrah jilid ke dua oleh Syeikh Atiah Saqr.

dipetik dari: link

Sukan dalam Islam





Islam menggalakkan sukan berdasarkan nas2 berikut:-


1) Islam menggalakkan ummatnya untuk sihat dan kuat. Firman Allah swt:


“Dan hendaklah kamu bersedia untuk berjihad semampu mungkin dengan menghasilkan kekuatan…” (60 : al-Anfal)


2. Al-Quran memuji tubuh badan yang gagah dan memanggapnya sebagai suatu kelebihan. Firman Allah swt:


“Dan Allah telah menambahkan kekuatan ilmu dan tubuh badan pada diri talut.” (247 : al-Baqarah)


3) Orang yang kuat tubuh badannya lebih disukai oleh Allah. Nabi saw bersabda:


المؤمن القوي خير وأحب إلى الله من المؤمن الضعيف ، وفي كل خير


Maksudnya: “Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah dari orang beriman yang lemah. Kedua-duanya ada kebaikan.” (Hr Muslim –sahih)


4) Nabi saw menyertai permainan dan sukan yang dimainkan sahabat-sahabatnya. Ini jelas dari hadis berikut:


مر النبي صلى الله عليه وسلم على نفر من أسلم ينتضلون ، فقال النبي صلى الله عليه وسلم : ارموا بني إسماعيل فإن أباكم كان راميا ، ارموا وأنا مع بني فلان. قال فأمسك أحد القريقين بأيديهم ، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ما لكم لا ترمون؟ قالوا: كيف نرمى وأنت معهم؟ فقال النبي صلى الله : ارموا فأنا معكم كلكم.


Maksudnya:


“Nabi saw lalu sekumpulan sahabat yang sedang memanah. Nabi saw bersabda “ Memanahlah hai Bani Ismail, sesungguhnya datuk kamu Nabi Ismail as adalah pemanah. Memanahlah dan aku bersama bani fulan (salah satu kumpulan pemanah). Lalu kumpulan yang satu lagi berhenti memanah. Rasulullah saw bertanya “ Kenapa kamu tidak memanah?” Bagaimana kami hendak memanah sedangkan kamu bersama mereka?” Nabi saw menjawab “Memanahlah, aku bersama kamu semua.”

(Hr Bukhari – sahih)


5) Nabi saw telah bersukan dengan isterinya Aisyah ra. Aisyah ra telah meriwayatkan hadis berikut:


أنها كانت مع النبي صلى الله عليه وسلم في سفر قالت : فسابقته فسبقته على رجلي ، فلما حملت اللحم سابقته فسبقني. فقال : هذه بتلك السبقة.


Maksudnya: "Suatu ketika Aisyah bersama Nabi saw dalam permusafiran. Aisyah berkata “Aku berlumba lari dengannya dan aku dapat mengalahkannya. Setelah mana aku berisi, aku berlumba lari sekali lagi dan baginda dapat mengalahkanku.” Nabi saw bersabda “Kemenangan kali ini membalas kekalahan yang lepas.”(Hr Abu Daud)


6) Nabi saw menggalakkan sahabat2nya bermain dan menonton permainan mereka bersama Aisyah ra. Ini jelas dari hadis berikut yang diriwayat oleh Aisyah ra:


لقد رأيت النبي صلى الله عليه وسلم يسترني بردائه وأنا أنظر إلى الحبشة يلعبون في المسجد حتى أكون الذي أسامه


Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah melihat Nabi saw menutupiku dengan kain selendangnya dan aku sedang melihat orang-orang habsyah yang bermain di masjid sehingga aku membuatnya jemu.” (Hr Bukhari dan Muslim)


Etika sukan dalam Islam


1. Permainan tersebut hendaklah yang dibenarkan syara’. Permainan yang haram adalah seperti melaga2kan binatang kerana Nabi saw menegah dari melaga2 binatang. (Hr Abu Daud – daif).


2. Pakaian yang digunakan hendaklah menutup aurat. Bagi Wanita hendaklah pakaian tersebut tidak ketat sehingga menampakkan tubuh badan dan tidak jarang.


3. Tidak ada perjudian dalam permainan. Setiap peserta mengeluarkan duit untuk diberi hadiah kepada pemenangnya adalah diharamkan.


4. Tidak melalaikan sehingga menyebabkan meninggalkan benda yang wajib seperti kewajipan solat. Firman Allah swt:


“Dan celaka bagi orang yang lalai dari melakukan solatnya (sehingga solat diluar waktu.” (4 : al-Ma’un)


5. Tidak ada perkara yang membahayakan diri sendiri dan manusia lain. Nabi saw telah bersabda:


لا ضرر ولا ضرار


Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perkara yang memudaratkan diri kamu dan orang lain.” (Hr Ibnu Majah dan ahmad – sahih)


6. Tidak ada percampuran lelaki perempuan yang dilarang. Percampuran yang dilarang adalah yang ada sentuhan lelaki dan perempuan. Nabi saw bersabda:


لأن يطعن رأس أحدكم بمخيط من حديد خير له من أن يمس أمرأة لا تحل له


Maksudnya: “Dicucuk kepala seseorang dengan jarum besi lebih baik dari dia menyentuh wanita yang tidak halal baginya.” (Hr Tabrani)


7. Sukan wanita yang boleh membawa fitnah kepada lelaki seperti berenang hendaklah tidak ditonton oleh lelaki samada secara langsung atau pun tidak. Dr Yusuf Qardawi menyatakan:


“Permainan yang dilakukan wanita seumpama berenang, gimnastik, luncur ais, tarian ballet, lumba lari, lompat jauh dan sebagainya, harus diadakan sesama wanita dengan syarat2nya. Tidak ada lelaki yang bukan mahram melihat sukan wanita seumpama ini. Oleh kerana itu sukan-sukan wanita seumpama berenang, gimnastik dan seumpama dengannya haram disiarkan dan ditonton oleh lelaki yang bukan mahram.”


Rujukan: Sofwatut Tafasir oleh sobuni, Mausu’ah at-Tibbiah al-Feqhian oleh Dr Ahmad Kan3an, Feqhul Lahwi Wat Tarwih dan al-Halal wal Haram oleh Dr Yusuf Qardawi dan al-Al’ab ar-Riadiah ahkamuha wa dawabituha fil Feghil Islami oleh Ali Husein Amin.

dipetik dari: link

Malunya seorang wanita islam

MUKADDIMAH

Dulu2 saya ada ditanya oleh bekas pelajar sy ada bertanya tentang muslimah yang menayangkan pelbagai gambar didalam blog dan freindster. Saya jawab hukumnya harus selagi mana ia menutup aurat. Namun dari sudut adab yang tinggi bagi seorang muslimah tidak selayaknya sebagai muslimah yang mempunyai sifat malu yang tinggi untuk dia sewenang-wenangnya mendedahkan diri dan mukanya kepada khalayak ramai tanpa tujuan yang dibenarkan. Sebentar tadi saya baca buku "makarimul akhlak Fil Islam" yang tentang kisah seorang wanita yang malu mendedahkan mukanya di mahkamah perbicaraan Islam. Oleh itu saya ingin menulis tentang malunya seorang wanita.

MALUNYA WANITA DALAM QURAN

Didalam al-Quran disebut kisah dua anak Nabi Syuaib as dengan Nabi Musa as. Firman Allah swt:

"Salah seorang anak perempuan Nabi Syuaib as berjalan untuk menemui Nabi Musa dengan penuh rasa malu" (25 : al-Qasas)

Dalam tafsir Sofwatut Tafasir menyatakan anak perempuan Nabi Syuaib as datang sambil menutup mukanya dengan pakaiannya.

Anak Nabi Syuaib as ini datang berjumpa dengan Nabi Musa atas arahan ayahnya yang sudah uzur.

Pengajaran: Wanita yang mempunyai urusan dengan lelaki hendaklah berjumpa dengan penuh rasa malu dan adab yang tinggi.

MALUNYA WANITA DALAM SUNNAH

كان صلى الله عليه وسلم أشد حياء من العذراء في خدرها

"Nabi saw tersangat malu lebih dari malunya anak dara yang berada disebalik tirainya." (Hr Ahmad -sahih)

Dalam hadis menunjukkan kepada malunya seorang wanita terutama anak dara. Ia sepatutnya tidak mempamirkan diri kepada yang bukan mahramnya tanpa keperluan.

KISAH MALUNYA SEORANG WANITA

Seorang isteri telah mengemukakan aduan kepada qadi Mu'tadid Ali ar-Rayy tentang 500 dinar (wang mas) kahwin yang belum dibayar oleh suaminya. Wanita tadi membawa beberapa orang saksi yang menyokong dakwaannya. Si suami tidak mengakui dakwaan si isteri. Qadi pun menyuruh saksi-saksi untuk mengemukakan penyaksian mereka untuk menyokong dakwaan si isteri. Para saksi berkata:

"Wanita ini hendaklah memperlihatkan wajahnya supaya kami dapat pastikan dia lah wanita yang kami maksudkan."

Si Qadi menerima permintaan para saksi dan menganggapnya itu hak saksi2. Wanita menolak untuk menunjukkan mukanya kerana malu. Si Qadi menyuruh wanita tadi untuk memperlihatkan wajahnya untuk meneruskan dakwaan tadi. Tiba2 si suami yang bersimpati dengan isterinya segera berkata:

"Tidak usah tunjukkan muka mu. Aku mengakui dakwaan mu itu."

Si isteri terkesan dengan sikap suaminya lalu berkata:

"Aku menjadikan Allah sebagai saksi dan juga kamu semua bahawa aku halalkan semua mas kahwinku dunia dan akhirat."

Pengajaran: Walaupun ditempat yang sepatutnya wanita tadi membuka purdahnya untuk mendapatkan haknya tetapi oleh kerana itu sifat malu yang tinggi menyebabkan dia sanggup mengorbankan 500 dinar (wang emas).

KESIMPULAN

Oleh itu, walaupun wanita diharuskan meletakkan gambarnya diruang yang dilihat oleh bukan mahramnya selagi menutup aurat tetapi sebagai muslimah yang kuat pegangannya dengan Islam dan sifat malunya yang tinggi hendaklah menjaga dari mendedahkan gambarnya tanpa sebab dan tujuan seperti diletakkan gambarnya di blog dan friendster. Terutama yang mempunyai paras rupa yang cantik amatlah dituntut untuk mengelakkan perkara ini. Ini kerana Islam melarang wanita melakukan perkara yang boleh mencairkan hati lelaki dan menimbulkan fitnah. Firman Allah swt:

ولا يضربن بأرجلهن ليعلم ما يخفين من زينتهن

"Janganlah para wanita itu menghentak kakinya dengan tujuan supaya orang lelaki mendengar bunyi gelang kakinya sehingga menarik perhatian orang lelaki." (Sebahgian ayat 30 : an-Nur)

Peringatan: Hendaklah sifat malu ini tidak memilih jenis bangsa dan tempat. Jangan di luar negara (mesir contohnya) mempunyai malu yang tinggi tetapi tidak dimalaysia. Hendaklah sifat malu itu kerana Allah bukannya kerana manusia. Sentiasa mengawasi kita dimana sahaja kita berada.

MALUNYA WANITA TIDAK MENEGAH IA UNTUK KELUAR MENUNTUT ILMU AGAMA

Walaupun Islam menyanjung sifat malu pada wanita tetapi hendaklah sifat malu itu tidak menegah dari dia keluar menuntut ilmu. Kita lihat kesungguhan para wanita di zaman Nabi saw. Abu Sai'id al-Khudri berkata:

"Seorang wanita berjumpa Rasulullah saw dan berkata "Wahai Rasulullah, orang2 lelaki beruntung kerana selalu mendapat tazkirah darimu. Kami minta satu hari untuk kamu khususkan kepada kami bagi menyampaikan ilmu yang telah engkau ajarkan." Lalu Nabi saw menjawab:

اجتمعن يوم كذا وكذا

"Berhimpun pada hari sekian-sekian."

Kami pun berhimpun pada hari yang telah ditetapkan Nabi dan Nabi saw mengajar mereka apa yang telah ajarkan pada Nabi saw." (Hr Bukhari dan Muslim - sahih)

Dalam athar ada menyebut:

نعمت النساء نساء الأنصار لم يمنعهن الحياء من السوءال عن دينهن

"Sebaik-baik wanita adalah wanita ansar, sifat malu yang ada pada mereka tidak menghalang mereka bertanya dan mencari ilmu agama."

Pengajaran: Oleh itu ditempat yang diperlukan , wanita hendaklah berani e hadapan. Kita lihat zaman Nabi dan para sahabat bagaimana berani Nusaibah ra berjihad menentang musuh, Rafidah al-Aslami merawat orang lelaki yang cedera dalam peperangan, Asma' bintu Abu bakar yang menghantar makanan pada Nabi dan ayahnya dalam peristiwa hijrah, Khaulah yang menegur Khalifah umar di khalayak ramai dan lain-lain. Jangan menggunakan alasan malu untuk menjauhkan dari kerja-kerja menegakkan Islam. Kerja-kerja ini adalah melibatkan lelaki dan perempuan seperti yang dinyatakan dalam ayat 71 surah at-Taubah.

Rujukan: Safwatut Tafasir oleh Sobuni, Makarimul Akhlak Fil Islam dan Riadus salihin oleh Imam Nawawi.

dipetik dari: link

Hukum tepuk tangan



Pengarang kitab حفل الزفاف في الفقه الإسلامي berkata:

Sesungguhnya tepuk tangan bila dilihat dari segi hakikatnya adalah suatu perbuatan manusia yang biasa. Hukumnya berdasarkan faktor kepada perbuatan tepuk tangan itu dilakukan. Sesiapa yang bertepuk tangan kerana untuk memberi peringatan maka perkara tersebut adalah harus.

Pengarang ini merujuk kepada sebuah buku dalam mazhab Syafie iaitu kitab حاشية الشبراملسي . Bila dilihat dalam kitab tersebut ada dinukilkan dari kitan فتح الجواد karangan Imam Ibnu Hajar Haitami:

“Diharuskan tepuk tangan dengan kedua tapak tangan sekalipun ditujuan untuk bermain-main, sekalipun ia dianggap sebagai bentuk nyanyian.”

TEPUK TANGAN KETIKA MENDENDANGKAN LAGU

Ulama berselisih pendapat berkenaan dengan masalah ini:

PENDAPAT PERTAMA: Haram tepuk tangan ketika mendendangkan lagu. Ini adalah pendapat Mazhab Hanafi dan sebahgian ulama Syafie.

PENDAPAT KEDUA: Makruh tepuk tangan ketika mendendangkan lagu. Ini adalah pendapat utama dalam mazhab Syafie dan pendapat mazhab Maliki.

DALIL PENDAPAT PERTAMA:

1. Firman Allah swt:


وما كان صلاتهم عند البيت إلا مكاء وتصدية


“ Cara ibadah dan solat orang-orang musyrikin di sekeliling ka’bah hanyalah dengan bersiul dan bertepuk tangan.” (35 : al-Anfal)

Bentuk pengambilan dalil:: Bertepuk tangan adalah dari perbuatan orang-orang musyrik. Orang bertepuk tangan meniru perbuatan orang-orang musyrikin.

2. Bagi orang lelaki dilarang kerana ia menyerupai perbuatan wanita dalam solat. Nabi saw bersabda:

إنما التصفيق للنساء


“Tepuk tangan dalam solat (untuk menegur imam) hanyalah untuk perempuan.” (Hr Bukhari dan Muslim)

JAWAPAN KEPADA TERHADAP DALIL

Jawapan terhadap pendalilan yang pertama adalah: Ayat ini menunjukkan perngharaman dan larangan beribadah dengan bertepuk tangan. Ia bukan pengharaman tepuk tangan di luar ibadah.

Jawapan kepada pendalilan yang kedua adalah: Hadis ini mengkhusukan tepuk tangan untuk wanita dalam solat sahaja.

KESIMPULAN

Hukum bertepuk tangan adalah mengikut kepada sebab bertepuk tangan. Ianya ada 4 seperti berikut:

1. TEPUK TANGAN DALAM SOLAT BAGI WANITA UNTUK PERINGATAN: Para ulama bersepakat ianya disyariatkan.

2. TEPUK TANGAN UNTUK IBADAT SEPERTI DALAM SOLAT, ZIKIR DAN TAWAF: Ianya dilarang berdasarkan ayat Quran yang telah lepas.

3. TEPUK TANGAN UNTUK NYANYIAN: ada yang mengharamkan dan ada yang memakruhkan. Apa yang difatwakan Dr Yusuf Qardawi dalam kitab فقه اللهو والترفيه adalah harus hukumnya kerana tidak ada dalil yang melarangnya.

4. TEPUK TANGAN UNTUK MEMBERI SEMANGAT ATAU RASA KAGUM: Ini juga dibenarkan kerana ia diperlukan. Pengarang kitab الموسوعة الفقهية الكويتية mengatakan:

“ Tepuk tangan di luar solat dan khutbah adalah diharuskan sekiranya untuk keperluan yang dibenarkan syara’ seperti minta izin untuk masuk, memberi peringatan, mengelokkan persembahan nasyid atau wanita yang bermain dengan kanak-kanak.”

Rujukan:

1.Fiqhul Lahwi wat Tarwih oleh Dr Yusuf Al-Qaradawi

2.Haflu Zafaf fil Fiqh Islami oleh Rafiq Abd Aziz As-Sobbagh

3.Mausu’ah Fiqhiyyah oleh Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama, Kuwait


4.Hasyiah Ali Syabramalsi ala Nihayatil Muhtaj

5. Sofwatul Tafasir oleh Muhammad Ali As-Sobuni


http://akhisalman.blogspot.com

Meninggalkan dosa

Satu daripada manifestasi iman yang penting ialah menjauhi dosa. Ia lambang kekukuhan iman.

"Jauhilah perbuatan haram niscaya kamu menjadi orang yang kuat beribadah." (HR Abu Ya'la)

Dalam beribadah, meninggalkan dosa (manhiyyat) adalah amal yang paling utama.
Inilah perkara yang amat ditekankan oleh ulama-ulama.

Suruhan agama lebih mudah dilakukan daripada meninggalkan laranganNya.
Kita mudah lihat yang berpuasa tetapi masih bermaksiat.
Bersembahyang tetapi rajin mengumpat atau tidak menutup aurat.

Maimun ibn Mahran telah berkata: "Berzikrullah dengan lisan adalah baik, tetapi yang lebih baik ialah mengingati Allah dengan menghindari perbuatan maksiat."

Imam Hasan al-Basri pula telah berkata: "Ibadah yang paling utama dilakukan oleh seseorang ialah meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah."

oleh: www.lengangkangkung-my.blogspot.com

Piagam Madinah Model Terbaik Bina Keharmonian


Oleh Mohd Shahrizal Nasir

KEJAYAAN Rasulullah SAW membina sebuah negara Islam terdiri daripada masyarakat berbilang kaum serta kepercayaan membuktikan Islam, agama yang menitikberatkan soal perpaduan dan kesejahteraan.

Sejarah membuktikan sebuah negara Islam bukanlah bermaksud semua warganya memiliki pegangan agama yang satu. Titik persamaan dalam mencapai tuntutan hidup dijadikan asas pegangan kepada semua pihak untuk terus bersatu tanpa memikirkan perbezaan kepercayaan, fahaman, budaya dan asal keturunan.

Atas dasar untuk memenuhi keperluan dan tuntutan hidup, kita dibenarkan oleh syarak untuk bersatu dan bersepakat dengan masyarakat bukan Islam asalkan ia tidak menyentuh perkara membabitkan soal akidah.

Perlu difahami dengan jelas bahawa dalam soal akidah, tiada istilah tolak ansur menangani sebarang isu berkaitannya. Mengetepikan soal akidah serta bersikap sambil lewa mengenainya bermakna seseorang itu sudah tergelincir daripada landasan Islam.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku." (Surah al-Kafirun, ayat 4-6)

Masyarakat Islam, Yahudi dan juga golongan Munafik yang mendiami bumi Madinah disatukan melalui piagam yang cukup penting dengan situasi dan keperluan mereka iaitu Piagam Madinah yang menghendaki setiap individu menjadikan keamanan dan kesejahteraan negara sebagai keutamaan.

Masyarakat bukan Islam yang terdiri daripada tiga kaum utama Yahudi di Madinah iaitu bani Nadhir, Qainuqa' dan Quraizah diberi perlindungan serta kebenaran mengamalkan kepercayaan masing-masing selagi semua terima Piagam Madinah dituruti dan dipatuhi.

Kerangka sebuah negara Islam Madinah seharusnya dijadikan contoh ikutan kerana ia sangat praktikal untuk negara Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk berbilang agama, bangsa dan keturunan.

Setiap anggota masyarakat haruslah sentiasa menjadikan kestabilan dan keamanan negara sebagai satu keutamaan dalam kehidupan bermasyarakat. Keadaan inilah yang menjadi antara inti pati kandungan Piagam Madinah yang digariskan oleh Rasulullah SAW satu ketika dulu.

Mengukuhkan perpaduan masyarakat pelbagai bangsa dalam konteks Malaysia ini, umat Islam tidak harus alpa terhadap keperluan untuk mengukuhkan hubungan persaudaraan sesama saudara Islam yang ditunjangi oleh asas akidah Islamiah.

Sesungguhnya, pengukuhan ikatan persaudaraan sesama Islam berkait rapat dengan kebahagiaan hidup ukhrawi. Firman Allah yang bermaksud: "Dan sesungguhnya agama Islam ini ialah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Aku-lah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepada-Ku." (Surah al-Mu'minun, ayat 52)

Tidak dapat dinafikan sikap tolong menolong dan bantu membantu antara satu sama lain adalah antara perkara yang boleh mengukuhkan perpaduan ummah. Allah menggesa umat Islam sentiasa mempraktikkan amalan mulia ini dalam kehidupan demi mencapai kebahagiaan hidup bermasyarakat.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan, dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya) ." (Surah al-Maidah, ayat 2)

Oleh itu, tanggungjawab umat Islam amat besar untuk membantu sesama umat Islam yang berada dalam keadaan memerlukan. Selain itu, umat Islam turut berperanan dan bertanggungjawab membantu mereka yang bukan Islam atas dasar keprihatinan dan kemanusiaan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain, tidak menzaliminya dan tidak membiarkan ia dizalimi. Barang siapa yang berusaha untuk memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan membantu dan mempermudahkan hajatnya." (Hadis riwayat Muslim)

Sesungguhnya tiada cara lain bagi mengeratkan tali persaudaraan dan perpaduan umat Islam selain daripada sentiasa berpegang teguh kepada ajaran Islam, agama yang menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia serta akhira t.

Renungilah pepatah Melayu, "bersatu teguh bercerai roboh", yang bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah (agama Islam), dan jangan lah kamu berpecah-belah. " (Surah Ali-Imran, ayat 103)

Hanya dengan bersatu padu, umat Islam akan terus dipandang tinggi dan mulia. Sebaliknya jika umat Islam terus berbalah dan bersengketa, maka umat Islam akan menjadi lemah disebabkan fitnah yang tercetus, natijah daripada sikap dan tingkah laku umat Islam sendiri.

Persoalan yang perlu sama-sama kita muhasabah ialah sanggupkah kita mensia-siakan segala pengorbanan Rasulullah SAW untuk melihat Islam terus berkembang dan dipandang mulia. Marilah menjaga semangat persaudaraan supaya kesejahteraan terjamin dan keharmonian terpelihara.