Pages

Followers

Jom Melabur: Amanah Saham Akhirat (ASA)


Jelas kepada kita bahawa dunia ini hanya sementara, tidak kekal lama, dan merupakan 'ladang' bagi Akhirat. Dunia merupakan tempat kita bercucuk tanam dan akan menuai hasilnya yang lumayan di Akhirat kelak. Jika tanaman yang kita tanam itu berkualiti dan bermutu tinggi, nescaya kita akan mendapat habuan dan hasil yang berlipat kali ganda. Begitulah sebaliknya. Balasan di hari Qiyamah nanti pun begitu juga, jika amal ibadah yang kita lakukan di dunia hari ini berkualiti dan memenuhi syarat-syarat serta tuntutannya, nescaya kita juga akan mendapat balasan pahala yang berlipat kali ganda dan habuan Syurga Allah S.W.T.
Justeru itu, salah satu cara untuk kita melabur atau bercucuk tanam di dunia ini ialah dengan melakukan 'infaq' fi sabilillah(di jalan Allah). Apa buktinya? Buktinya dinyatakan sendiri oleh Allah S.W.T. dalam kitab-Nya yang suci, Al-Quran:"Perumpamaan (infaq yang dikeluarkan) oleh orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir (yang lain), pada tiap-tiap butir (menghasilkan) seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan, Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui." [Al-Baqarah: 261]
Jadi, ringkasnya orang yang menginfaqkan (menyumbangkan) hartanya di jalan Allah samada membantu perjuangan menegakkan Islam, peperangan yang melibatkan tentera Islam atau membantu mengeluarkan saudara seaqidah kita daripada belengu kefaqiran dan kemiskinan akan dilipatgandakan pahala (sebagai balasan infaq tersebut) sebanyak sepuluh hingga tujuh ratus kali ganda. MasyaAllah! Pemurahnya Allah S.W.T. Ayuh! tunggu apa lagi, sama-sama kita menginfaqkan harta benda dan jiwa raga di jalan Allah. Mukmin Power!

No comments:

Post a Comment